Friday 5 December 2014

Khutbah Jumaat: Syirik Dalam Tawassul

  بسم الله الرحمن الرحيم

Khutbah Jumaat hari ini di sampaikan oleh Ustaz Johari Wahab di Masjid Jamek Kompleks Pertanian Serdang atau lebih di kenali sebagai MAsjid Mardi oleh pelajar UPM,  Ustaz Jo adalah ustaz yang paling aku suka terutama dalam kupasannya tentang soal hukum hakam islam. Dan Ustaz beri penjelasan yang sangat jelas dan padat.


Sikit perkongsian khutbah hari ini. Ustaz memulakan dengan satu ayat Al Quran yang mana Allah SWT merakamkan suatu pesanan seorang hamba yang sangat suka memberi nasihat yang mana nasihatnya itu cukup bernilai sehingga di rakamkan oleh Allah dalam Al Quran. Nasihat hamba Allah itu wajarnya ditulis dengan tinta emas. Beliau ialah Luqman Al Hakim.

Allah SWT merakamkan dalam Surah Luqman:


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya“Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”



 "..laa tusyrik billah.."


Janganlah kamu mensyirikkan Allah SWT dengan segala sesuatu. Kemudian khatib menyatakan bahawa syirik juga boleh berlaku dalam doa iaitu bertawassul (perantara) dengan tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam agama.

Islam mengajar ummatnya meminta sesuatu kepada Allah secara terus tanpa melalui perantaraan sesuatu. Mintalah padaNya kerana sesungguhnya Allah itu sangat dekat dengan kita.

Friman Allah yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Namun sekiranya kita dalam berdoa menginginkan apa yang kita minta itu di makbulkan oleh Allah dengan sungguh-sungguh maka kita di benarkan bertawassul dalam beberapa syarat.


Tawassul yang disyariatkan


Tawassul yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul adalah berdalilkan hadis-hadis Nabi SAW tentang bagaimana baginda mengajarkan kepada kita cara bertawassul.

Pertama, bertawassul dengan menggunakan nama-nama Allah SWT. Firman Allah di dalam Al-Quran,
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan Allah memiliki nama-nama yang indah, maka berdo’alah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya tersebut.” (surah Al-A’raf: 180)
Sebut Nama-nama Allah terlebih dahulu, jadikan nama-Nya sebagai perantara untuk kita berdoa dan memohon atau meminta sesuatu daripada-Nya bersesuai dengan apayang kita minta.


Kedua, bertawassul dibenarkan dengan doa orang soleh yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang soleh yang amal ibadatnya bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang saleh yang masih hidup dan meminta orang yang soleh itu mendoakan untuk kita.
Perkara ini berlaku di dalam petunjuk Nabi SAW di mana para sahabat meminta agar Nabi berdoa. Adapun setelah kewafatan Nabi SAW, Umar Al-Khatthab ra pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan bahawasanya

 “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami.” (lihat Sahih Bukhari)

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah dilanda kemarau panjang. Umar meminta Abbas ra berdoa dan Abbas pun berdoa. Tidak lama setelah itu, Allah pun menurunkan hujan kepada mereka.

Namun syaratnya juga mestilah orang yang kita minta doa itu orang yang masih hidup bukannya kita pergi ke kubur dengan meminta dengan orang yang sudah mati. Mana mungkin oarang yang mati bisa mendoakan kita. Sedangkan merekalah yang lebih memerlukan doa daripada orang yang masih hidup untuk keselamatannya di alam sana. Bertawassul dengan doa orang yang saleh yang masih hidup itu yang diajar oleh Nabi SAW. Dan cara bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya, bukan melalui jasadnya.


Adapun yang Ketiga, ialah bertawassul dengan amalan saleh. Iaitu bertawassul dengan amalan soleh yang pernah kita lakukan. Hadis yang selalu dijadikan contoh adalah hadis tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua. Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan amalan soleh, yakni menjadikan amalan soleh sebagai perantara di dalam doa kita. Ramai masyarakat hari ini yang melakukan syirik ini dengan meminta doa-doa daripada orang yang telah mati seperti di Indonesia, mereka meminta kepada wali Songo, di Baghdad, mereka meminta kepada Sheikh Abdul qadir Al Jailani dan lain-lainnya. Ini adalah suatu perbuatan yang syirik.

Hal-hal seperti ini tidak diamalkan dan tidak dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabi radhiyallaahu’anhu berasaskan dan berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang sahih yang jelas daripada mereka, seperti mana perbuatan Umar bin Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi sebaliknya mencari Abbas bin Abdul Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat permisalan dan menyebut bahawa “dulu ketika masih ada Nabi, kami bertawassul dengan Nabi, tetapi sekarang apabila Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan Abbas.”


Dan sedikit dalam khutbah yang kedua ustaz menceritakan tentang kepentingan dua golongan yang saling memerlukan iaitugolongan Ulama' dan Umara'. Yang mana golongan Ulama' seharusnya sentiasa menasihati Umara'. Bukannya berdampingan untuk mendapatkan kuasa, mengampu, menjual agama dan sebagainya. Bahayanya lebih besar sekiranya ulama' yang melakukan kerosakan daripada golongan biasa.

Wallaahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v