Friday 19 December 2014

Hijrah Rasul - Sidang Parlimen Tergempar Quraisy

Kejahilan umat tentang sejarahnya sendiri adalah suatu malapetaka; Mr. Adnan Kahveci, Mantan Menteri kewangan Turki

‪#‎SejarahHariIni‬ ‪#‎26Safar‬

Hari ini 26 safar mengingatkan kita Tanggal 26 haribulan Safar tahun ke empat kebangkitan Rasulullah (s.a.w) bersamaan 12 September 622 Masihi, pihak Quraisy telah mengadakan sidang Parlimen (Darul Nadwah) dipagi-pagi hari yang merupakan sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy. 

Setelah hampir semua para sahabat berhijrah ke Madinah, maka tinggallah Saidina Ali dan Saidina Abu Bakar serta beberapa orang sahabat yang menunggu Rasulullah SAW yang masih belum berhijrah. Baginda masih perlu menunggu keizinan dari Allah untuk berhijrah.


PERBINCANGAN KRITIKAL Dl DARUL NADWAH PARLIMEN QURAISY

Di pihak kafir Quraisy, penghijrahan umat Islam dan Rasulullah SAW merupakan satu malapetaka bagi mereka. Pelbagai kegelisahan dan ramalan-ramalan yang bakal mereka hadapi di masa-masa akan datang, bahaya besar sedang menunggu mereka. Madinah berkedudukan antara Makkah dan Syam. Ini akan memberi impak secara langsung kepada perdagangan kaum Quraisy di Makkah yang kelak akan mengugut dan menggugat kestabilan ekonomi, kekayaan dan entiti ideologi berhala mereka. Ini kerana jumlah dagangan penduduk Makkah ke negeri Syam ialah sebanyak 4 juta dinar (RM3.3 bilion) setahun. Mereka juga bimbang Rasulullah SAW akan membina kekuatan di Madinah dan membentuk satu kuasa politik baru yang lebih kuat dan berpengaruh mengatasi kekuasaan Quraisy.

Sebagaimana juga mereka mengetahul posisi al-Madinah yang strategik itu sendiri, bila ianya berkonfrontasi terutamanya dengan qabilah perniagaan mereka yang merupakan laluan tetap dari Yaman ke negeri al-Syam yang semestinya melalui persisiran laut Merah. Mereka juga mengetahui selama ini, itulah laluan yang menikmati kesejateraan dan keamanan. Pihak Quraisy sudah menelah bahaya yang bakal mengancam mereka dan perniagaan sekiranya kekuatan Islam berpusat di Madinah.

Pihak Quraisy sudah pun peka akan bahaya dan ancaman yang bakal mengugat diri mereka. Oleh yang demikian, maka mereka bersungguh-sungguh mencari sebaik-baik jalan untuk menolak mara bahaya dan ancaman ini, keaemuanya berpunca dari pendokong obor dakwah Islam iaitu Muhammad (s.a.w).

Justeru itu, Tanggal 26 Haribulan Safar tahun keempat kebangkitan Rasulullah bersamaan 12 haribulan September tahun 622 Masihi pihak Quraisy telah mengadakan sidang Parlimen (Darul Nadwah) di pagi hari iaitu hampir dua bulan setengah setelah berlalunya Baiah al-'Aqabah al-Kubra yang merupakan satu sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy, seluruh perwakilan kabilah-kabilah Quraisy telah menghantar anggota-anggotanya, membuat perbincangan dan merencana satu pelan tindakan yang tegas untuk menghapus secepat mungkin pembawa obor-obor dakwah Islamiah dan dengan itu terputus sudahlah arus cahayanya buat selama-lamanya.

Suasana sidang parlimen di Dar An-Nadwah dalam filem Omar Series

Tokoh-tokoh perwakilan yang menonjol di dalam perjumpaan itu ialah:

1. Abu Jahal bin Hisyam mewakili qabilah bani Makhzum (Speaker Dewan)
2. Jubair bin Mutaam, Tai'mah bin Adi, dan al-Harith bin Amir mewakili Bani Naufal Ibn Abdul Manaf.
3. Syaibah dan Utbah kedua-dua anak Rabiah dan Abu Sufian bin Harb, mewakili bani Abdul Syams bin Abdul Manaf.
4. al-Nadhr bin al-Harith (orang yang mencampakkan pundi-pundi najis sembelihan ke atas Rasulullah di Kaabah semasa baginda bersembahyang) mewakili Banu Abd al-Dar?
5. Abu al-Bukhturi bin Hisyam, Zama'h bin al-Aswad dan Hakim bin Hizam mewakili banu Asad bin Abd al-Uzza.
6. Nabyah dan Manbah kedua-duanya anak lelaki al-Hajjaj mewakili bani Sahm.
7. Umaiyah bin Khalaf mewakili Bani Jumah.


SIDANG DARUL AL-NADWAH DAN PERSETUJUAN DENGAN KEPUTUSAN DURJANA UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH (S.A.W)

Setelah bilangan keanggotaan majlis mesyuarat Dar al-Nadwah sempurna dengan kehadiran mereka, maka perbahasan pun bermula, disusuli dengan saranan dan cadangan. Di antaranya ialah pendapat Abu al-Aswad: "Kita keluarkannya dari sini dan buangnya ke negeri lain. Selepas itu kita usah pedulikannya, ke mana dia hendak pergi dan jatuh. Kemudian kita 'pulihkan' semula masyarakat kita ini".

Namun pendapat itu tidak dipersetujui kerana Muhammad ini seorang yang petah bercakap, dengan kata-katanya yang halus dan manis, serta berupaya mempengaruhi dan menawan hati orang. Jika berbuat demikian, mereka tidak akan selamat, kerana mereka khuatiri Muhammad akan memasuki ke perkampungan dan pedalaman Arab yang lain dan setelah itu beliau akan memimpin untuk menentang dan melanyak mereka semua dan membuat apa sahaja yang dikehendakinya.

Kata ahli parlimen yang lain, Abu al-Bukhturi, "Kita penjarakannya dalam kurungan besi, tutup pintunya sebaik-baiknya, dan kamu kawalkannya serta tengok apa akan terjadi, sebagaimana berlaku ke atas penyair-penyair yang sebelumnya seperti Zuhair dan al-Nabighah yang menemui kematian seperti ini, biarlah dia merasa sepertimana mereka itu rasaiya.

Usul kedua itu juga di tolak. Kata Abu Jahal selaku speaker, Demi Allah, ini bukan pendapat yang baik, demi Allah kalau kamu kurungkannya sedemikian rupa pun akhirnya ceritanya itu akan bocor keluar dan sampai ke pengetahuan pengikut-pengikutnya kemudian mereka itu pun akan menyerang kamu, kemudian membebaskannya dari tangan kamu, setelah itu akan bertambah pengikutnya, seterusnya menghalangkan kamu semua, pendapat ini tidak boleh dipakai, cuba cadangkan pendapat lain.

Selepas persidangan Dar al-Nadwah menolak dua cadangan yang dikemukakan itu, dikemukakan pula cadangan yang paling nekad dan terkutuk, ianya mendapat persetujuan seluruh anggota sidang, dikemukakan oleh kepala samseng dan jenayah Makkah Abu Jahal bin Hisyam yang merupakan speaker dewan ketika itu. Kata Abu Jahal, "Demi Allah, sesungguhnya aku ada satu pendapat yang kamu tidak nampak". Kata mereka, "Apakah pendapat itu wahai Abu al-Hakam?" Jawab Abu Jahal, "Aku melihat di mana setiap kabilah haruslah dipilih seorang pemuda tangkas dan lincah kemudian kita serahkan kepada setiap mereka sebilah pedang yang tajam, untuk mereka gunakannya, dengan cara mereka menetak Muhammad serentak maka tamatlah riwayat Muhammad dan kita pun boleh berehat, kerana bila mereka lakukan cara ini bererti semua kabilah bertanggungjawab dan banu Abdul Manaf tidak terdaya untuk memerangi kesemua qabilah ini, sebagai gantiannya mereka akan berpuas hati dengan pembayaran diah (pampasan).

Sidang Dar al-Nadwah pun sebulat suara menerima cadangan yang terkutuk itu, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dengan penuh keazaman, di mana cadangan dan keputusan itu akan dilaksanakan dengan serta-merta.

Sebaik sahaja keputusan durjana diambil untuk membunuh Rasulullah, Jibril pun turun menemui Rasulullah, dengan wahyu dari TuhanNya Tabaraka Wataala, Jibril memberitahu pakatan jahat Quraisy, kini Allah telah mengizinkan baginda untuk keluar berhijrah.

PENGEMPUNGAN RUMAH RASULULLAH S.A.W

Pimpinan dan kepala jenayah Quraisy menghabiskan siang mereka untuk menyempurnakan perancangan dan persiapan seperti yang diputuskan oleh sidang Dar al-Nadwah, sebelas orang kenamaan wakil kabilah masing-masing ialah seperti:

1. Abu Jahal bin Hisyam
2. Al-Hakam bin Abi al-As
3. Ugbah bin Abi Muit
4. al-Nadhr bin al-Harith
5. Umaiyah bin Khalaf
6. Zamaah bin al-Aswad
7. Tu'imah bin 'Adi
8. Abu Lahab
9. Ubai bin Khalaf
10. Nabyah bin al-Hajjaj
11. dan saudaranya Manbah bin al-Hajjaj

Dalam sidang Parlimen inilah yang akhirnya membawa keputusan durjana untuk membunuh junjungan besar Rasulullah (S.A.W). Maka bermulalah siri hijrah Rasulullah (S.A.W) selepas peristiwa ini. Begitulah betapa mahalnya harga sebuah hijrah yang di lalui oleh Rasulullah SAW. Itu baru sahaja permulaan hijrah yang dilalui oleh Rasulullah. Suatu pakatan besar sehinggakan dibincangkan di Parlimen untuk menyekat kemaraan dan perkembangan Islam di atas muka bumi ini.

Siri Hijrah Rasulullah menurut ulama' besar dan pengkaji sirah bermula pada akhir bulan Safar hinggalah Rasulullah sampai di Yatrib (Madinah) pada 12 Rabiulawwal.

Kita sudah pon berada di penghujung tahun 2014 dan bakal memasuki tahun yang baru 2015, yang mana kita berada di akhir bulan Safar dan bakal memasuki awal Rabiulawwal. Berbetulan dengan tarikh ini yang merupakan bulan hirah Rasulullah, marilah kita mengambil ibrah dari siri perjuangan nabi ini untuk terus meletakkan diri kita ke arah yang lebih baik bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T.

Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung.

 Wallahu'alam..

bersambung....


1 comment:

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v