Saturday 27 June 2015

Musafir - Berpuasa atau berbuka ?

   بسم الله الرحمن الرحيم
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang bathil. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." (Surat al-Baqarah : ayat 185) 



Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan al-Sunnah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). 
Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim)

Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?


Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seseorang yang bermusafir boleh berbuka puasa walaupun perjalanan yang ditempuhi itu tidak memberikan apa-apa masyaqqah(keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan beban).
Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?
Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.
(i) Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.
(ii) Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhal baginya.


Wallahu'alam

Tuesday 14 April 2015

Akal Perempuan Menurut Hamka

بسم الله الرحمن الرحيم




Ketika menafsirkan surat al-Nisa’ ayat 11 tentang pembahagian warisan antara laki-laki dan perempuan, Hamka menolak pendapat sebahagian mufassir yang mengatakan perempuan lebih lemah akalnya dibanding laki-laki.

Menurut Hamka akal mereka sama-sama memiliki kekurangan. Kesempurnaan pemikiran akan wujud jika seorang lelaki dan perempuan saling bertukar fikiran dalam menyelesaikan suatu masalah. Untuk mendukung pernyataannya ini, Hamka  memberi contoh peranan Ummu Salamah dan Khadijah terhadap kejayaan Rasulullah SAW. Tidak mungkin seorang yang lemah akal, emosional dan tidak kuat mentalnya (penilaian yang sering dikatakan kepada perempuan) mampu memberi jalan keluar untuk mengatasi kesulitan serta memberikan ketenangan dan kekuatan kepada orang lain, seperti yang dilakukan Ummu Salamah dan Khadijah. Hamka menguraikan sebagai berikut:

"Kita melihat pada setengah tafsir, ahli-ahli tafsir itu mengeluarkan pendapat bahwa hikmah bagian laki-laki dua kali dari perempuan ialah karena akal perempuan itu kurang; akalnya hanya separuh laki-laki. Alasan itu kita bantah keras. Karena kalau kita pelajari dengan seksama, nyata sekali bahwa akal laki-laki dan perempuan, kedua-duanya itu sama-sama kurang. Barulah akan cukup kalau kedua akal itu digabungkan. Pengalaman-pengalaman di dalam rumah tangga yang bahagia membuktikan bahwa kerapkali ternyata seorang suami tidak dapat mengambil keputusan yang tepat sebelum mendapat petunjuk dari istrinya. Istri pun kerapkali salah mengambil keputusan karena tidak bermusyawarah dengan suaminya. Dalam perjanjian Hudaibiyah jelas sekali, bahwa nasihat Ummu Salamah-lah yang melepaskan Rasulullah SAW dari kesulitan."

Pada tahun keenam hijriah, Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin akan melaksanakan ibadah haji. Ketika tiba di Hudaibiyah, rombongan Nabi Muhammad SAW dihalang oleh kaum musyrik Quraisy. Mereka menghalang kedatangan Nabi untuk menunaikan haji pada waktu itu. Lalu terjadilah perundingan antara kedua belah pihak dan menghasilkan sebuah perjanjian yang dikenali dengan perjanjian Hudaibiyah. Nabi SAW menerima perjanjian tersebut walaupun jika dilihat secara zahirnya ia sebagai sikap mengalah kaum muslim kepada kaum musyrik Quraisy, dan kelebihan perjanjian itu dilihat dimiliki oleh musyrik Quraisy. Akibat perjanjian tersebut pelaksanaan ibadah haji ditangguh hingga tahun depan dan menyebabkan kaum muslimin yang pada waktu itu sedang bersemangat untuk menunaikan haji harus kembali ke Madinah. 

Untuk itu, Rasulullah SAW memerintahkan mereka bertahallul dan menyembelih (membayar dam dengan menyembelih). Para sahabat yang pada dasarnya tidak setuju dengan perjanjian tersebut kelihatan enggan melaksanakan perintah tersebut, sehingga Rasulullah SAW  hampir saja marah karena perintahnya tidak dipatuhi. Pada saat penting itulah isterinya yang ikut pada waktu itu, Ummu Salamah, menarik tangan Rasulullah SAW ke dalam khemah untuk meredakan kemarahannya.  Ummu Salamah menyarankan agar Rasulullah memulai sendiri bertahallul dan menyembelih (dam). 

Ummu Salamah berkata: “Janganlah engkau marah ya Rasulullah. Engkau mulai saja sendiri. Segera sekarang juga engkau keluar, engkau gunting rambutmu, engkau sembelih binatang dammu kemudian lepaskan pakaian ihrammu. 

Tanpa berbicara lagi.” Rasulullah SAW. melaksanakan nasihat Ummu Salamah. Para sahabat yang melihat hal itu segera mengikuti perbuatan Rasulullah SAW, sehingga semuanya berjalan dengan lancar.

Hal ini menunjukkan bahawa bukan hanya lelaki yang membela dan melindungi perempuan, tetapi juga sebaliknya, dapat dilihat dalam rumah tangga Rasulullah dengan Khadijah. Ketika Rasulullah SAW ketakutan sewaktu menerima wahyu pertama kali, Khadijah memberi kepercayaan kepada Rasulullah. Sikap dan kepercayaan yang telah diberikan Khadijah itu sangat besar ertinya dalam membangkitkan jiwa Rasulullah untuk memikul tanggung dan tugas yang dibebankan Allah SWT kepadanya.  Bahkan pada tahap selanjutnya, seluruh harta bendanya dikorbankan untuk mendukung cita-cita suaminya, Rasulullah SAW.


Lelaki dan Perempuan sama-sama memiliki kekurangan

Menurut Hamka, lelaki dan perempuan sama-sama memiliki kekurangan. Oleh karena itu di antara mereka terdapat saling melengkapi. Laki-laki dengan segala kelebihannya melengkapi kekurangan perempuan, dan perempuan dengan segala kelebihannya melengkapi kekurangan lelaki.

Dalam penafsirannya terhadap surat al-Nisa’ ayat 11, Hamka mengatakan lagi sebagai berikut: 


"Kita sendiri sebagai laki-laki ada cacatnya. Seorang yang belajar dari pengalamannya dapatlah meyakinkan, bahwasanya dua raga dan jiwa yang telah dipadukan oleh akad nikah, sama-sama dalam kekurangan. Yang satu akan mengimbuhi."




Saturday 11 April 2015

Nikmat Kefahaman





Nikmat-nikmat Allah yang kurniakan kepada hamba-hambanya terlalu banyak. Ada yang dikalangan hambanya dikurniakan nikmat harta,nikmat sihat ,nikmat ilmu dan sebagainya.

Di sini ada satu nikmat Allah yang paling besar iaitu nikmat faham. Barang siapa yang dikurniakan nikmat ini maka dia telah mendapat sebaik-baik kurniaan Allah.

Kefahaman yang dimaksudkan di sini meliputi banyak perkara, seperti ilmu,kehidupan dan sebagainya. Dan sebesar-besar kefahaman ialah kefahaman terhadap Allah dan RasulNya.

Ramai dikalangan kita membaca, belajar tetapi tidak dikurniakan kefahaman di dalam ilmu yang dia pelajari. Lalu terdapat kesilapan apabila menerangkan kepada orang ramai atau tersilap apabila dipraktikan.Yang amat malang sekali apabila sesorang itu tidak faham mengenai Islam dan Syariatnya lalu dia berprasangka buruk terhadap Islam.


Imam Qaradawi dalam membahaskan usul kefahaman, Imam ada menyebutkan bahawa kefahaman yang tepat adalah sebaik-sebaik nikmat. Kefahaman ini yang kita panggil fikh yang kita memahami sesuatu perkara berdasarkan realiti. Kita dapat memahami dan menterjemahkan di dalam kehidupan kita.

Sebab itulah kita perlu memohon kepada Allah agar Dia mengurniakan kefahaman kepada kita dalam bidang apa yang kita ceburi agar kita dapat berjalan di atas landasan yang betul sama kefahaman yang berkaitan dengan dunia atau akhirat.

Ada kata-kata dalam satu syair,

‘"Aku mengetahui kejahatan bukan untuk melakukan kejahatan."
"Barangsiapa yang tidak mengetahui kejahatan dia akan terjebak kepadanya’"




Berkata pula golongan salaf,

"Barangsiapa yang mengetahui zamannya,makan luruslah jalannya."



Daripada apa yang kita sebutkan tadi, menunjukan betapa pentingnya kefahaman dalam hidupkita. Kita melihat remaja-remaja yang terjebak ke dalam gejala sosial mereka tidak faham hakikat hidup mereka yang mempunyai risalah untuk ditunaikan. Begitu juga pemimpin-pemimpin kita yang menipu rakyat mereka,mereka tidak faham tentang hakikat jawatan mereka, dan banyak lagi lah golongan yang amat perlu kepada kefahaman. Golongan yang amat perlu kepaa kefahaman ini ialah ulamak dan pendakwah yang ditangan mereka arus perubahan umat.

Ingatlah pesanan ini;

 "Dengan wang anda dapat membeli buku tapi tidak kefahaman "

Maka dengan itu, marilah kita berdoa kepada Allah agar dikurniakan kefahaman terhadapNya,RasulNya dan terhadap kehidupan ini. Amin

-Ustaz Fauwaz-






Monday 30 March 2015

Filem 3 Abdul; Kecelaruan Masyarakat Islam Turki & Tanah Melayu

Kemelut pemodenan Turki dengan mengamalkan budaya hidup Eropah dan meninggalkan budaya tradisi Turki-Islam mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk. Turki mengisytiharkan menjadi menganut fahaman sekularisme pada tahun 1923. Budaya Islam dirancang untuk dihapuskan hingga ke akar umbi masyarakat Turki. Pengisian rohani dilarang manakala pengisian hedonisme fizikal dan pemisahan agama dengan budaya masyarakat dikuatkuasakan. Pengajian agama diharamkan. Abjad Arab ditukar dengan abjad Latin. Penertbitan buku agama dilarang dan perlaksanaan faraid dan pusaka dibatalkan. Perkahwinan dilakukan secara budaya Barat. Larangan berjamaah di masjid dikuatkuasakan. Wanita dilarang bertudung. Azan dengan kalimah Arab diharamkan dan diganti dengan azan berbahasa Turki. Mereka merecipta azan baru dalam versi Turki. Minuman arak dilakukan secara terbuka. Budaya ini masih kekal hingga kini.

Turki di bawah Ataturk memperkenalkan cara hidup Barat dan berpakaian cara Barat. Ataturk menggalakkan percampuran lelaki perempuan dalam majlis social seperti yang dilakukan di Eropah.  Sebahagian ulama mengharamkan pemakaian pakaian gereja seperti ikatan rama-rama bow.

Sistem pemerintahan sekular yang memisahkan agama dan politik menjadi dasar nagara. Perundangan Barat menggantikan  hukum syariah Islam. Penerbitan buku agama dilarang sama sekali. Pakaian tradisi diganti dengan pakaian Eropah sepenuhnya. Kalimah sunatullah atau hukum Allah yang mentadbir alam semesta diganti dengan hukum tabii atau law of nature.

Eropah dan Barat menyambut usaha menghapuskan sistem nilai Islam dalam masyarakat   sebagai agenda bersama untuk kemodenan Turki. Nama Mustafa Kamal Ataturk dijaja ke seluruh tanah jajahan sebagai simbol kemodenan yang perlu diikuti oleh seluruh dunia Islam. 


Pemimpin Islam di tanah jajahan diajak bersama untuk menjadikan Turki sebagai negara contoh kemodenan. Negara Arab mula menyeru gerakan nasionalisme masing-masing manakala ketika itu Inggeris dan Perancis memainkan peranan masing-masing untuk menjauhkan umat Islam daripada al-Qur’an. 



Gladstone, Perdana Menteri British dalam parlimen British tahun 1882, dengan memegang al-Qurta’n di tangannya pernah  menyatakan bahawa selagi al-Qur’an berada dalam genggaman umat Islam di Mesir maka mereka tidak dapat dikalahkan. British menggunakan ulama yang berpihak kepada mereka di Mesir untuk menukar pandangan masyarakat Islam ke arah sekularisme. 

Sebahagian ilmuwan yang berkerja rapat dengan British membawa pemikiran pembaharuan yang melihat golobngan tradisi sebagai jumud. Mereka gelarkan gerakan ini sebagai gerakan permodenan dan pembaharuan.

Pada permukaannya gerakan ini bertujuan untuk membina kekuatan umat Islam tetapi dalam sudut yang lain pula mereka terlalu rapat dengan penjajah dan gerakan penjajah. Gerakan ini menjalar ke penjajahan British termasuk Tanah Melayu. Amat sukar bagi umat Islam yang ditekan penjajah untuk melihat kebenaran atau kepalsuan perjuangan tersebut kerana kewujuan ulama besar berada bersama-sama dengan gerakan tersebut. Walaupun golongan pembaharuan membawa kalimah yang benar, tetapi British bijak menggunakan mereka untuk menolak ulama tradisi, lalu perpecahan berlaku dalam masyarakat Islam. 

Di Tanah Melayu, sebelum itu seruan kesatuan Islam yang diseru oleh Sultan Abdul Hamid untuk menyatukan seluruh negara Islam di bawah satu payung pentadbiran, disambut hangat oleh aliran Syeikh Ahmad al-Fatani.


Selepas Sultan Abdul Hamid digulingkan dan kumpulan Ataturk mengambil alih pemerintahan Turki, ada majalah di Alam melayu yang tidak menyedari perkara ini lalu menyokong gagasan Ataturk yang memperjuangkan sekularisme. Kekalutan pemikiran umat Melayu sukar dirungkaikan ketika itu sebab British memberi sokongan padu terhadap sekularisme Ataturk dan itulah hasrat mereka untuk memperkenalkan fahaman yang di Alam Melayu. 

Pada mulanya ramai yang berharap penggulingan Sultan Abdul Hamid yang terkenal dengan gagasan kesatuan Islamnya, memberi harapan kepada pembanguan umat Islam di bawah pimpinan Ataturk. Namun harapan mereka hanyalah ilusi semata-mata, kerana kumpulan Ataturk menentang Islam secara jelas dengan berselindung di sebalik slogan permodenan Turki.

Syeikh Rasyid Rida, tokoh islah yang terkenal pun mungkin terkeliru dengan perkembangan ini. Pada mulanya beliau menyokong gagasan kesatuan Islam Uthmaniyyah dan menulis dalam majalah al-Manar sebagai sokongannya kepada Sultan Abdul Hamid. Tidak lama kemudian, dengan nasihat mentornya Muhammad Abdul, beliau mula menyokong pembaharuan yang menentang Sultan. Apabila Ataturk betindak melampaui batas terhadap umat Islam Turki, beliau mengkritik pula regim Ataturk. Zahirnya, Syeikh Rashid Rida mempunyai pandangnnya tersendiri dalam persoalan umat Islam yang sukar ditanggapi oleh pengkritiknya. Kemelut identiti dan jati diri inilah mengalir ke Tanah Melayu.



Masyarakat Melayu semakin keliru ketika itu kerana gagasan sekularisme Mustafa Kamal Ataturk dicanangkan pula oleh British sebagai model pembaharuan yang perlu ditiru oleh masyarakat jajahan yang lain. Golongan wanita yang memperjuangkan kebebasan wanita untuk mendapat hak yang sama seperti lelaki turut digambarkan sebagai wanita maju. Wanita Barat berusaha keras kebebasan menggugurkan bayi, kerana mengikut mereka bayi adalah sebagahagian jasad mereka. Wanita perlu mendapaat hak pendidikan, pemilikan harta, memilih pemimpin dan sebagainya. Ini kerana mereka terpengaruh dengan dakwaan wanita Barat yang memang benar dinafikan hak tersebut. Namun Islam telah emmberikan hak kepada setiap lelaki dan wanita termasuk hak menuntut ilmu.


Ada golongan muda yang menyangka seruan Ataturk sebagai sebahagian daripada seruaan pemurniaan agama, lalu disokong oleh sebahagian ilmuwan tempatan. Ilmuwan tersebut menyedari kesilapan mereka setelah berlalu masa yang lama, apabila akhirnya diketahui bahawa Ataturk sebagai musuh agama Allah SWT yang sentiasa bersusaha keras untuk emmdamkan syiar Islam buat selama-lamanya di Turki.


Filem 3 Abdul


Filem Tiga Abdul berlatar belakang masyarakat Islam Turki era kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Sistem nilai Islam sudah semakin luntur dalam masyarakat, dan sistem nilai Barat mula menggantikan budaya Turki-Islam.

Filem Melayu terbitan 1964 yang bertajuk Tiga Abdul mempunyai latar belakang sebuah keluarga bangsawan di Kota Istanbul (yang disebut Isketambola). Filem berbentuk satira ini mengambarkan suasana Turki era pembaharuan menjelang kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Hartawan tersebut Ismet Ulam Raja mempunyai tiga orang anak iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Watak utama filem ini ialah P.Ramlee, Haji Mahadi dan S.Kadarisman. Filem cereka ini disunting sebagai drama yang berbentuk satira bangsawan yang sinis sebagai iktibar yang penuh sistem nilai Turki dalam budaya Islam yang kian terpinggir. 

Gaya hidup Barat mula menjelma dalam msyarakat Turki era kemodenan. Pakaian kemeja berkot dan tali leher menjadi budaya dalam masyarakat tersebut. Sistem faraid mula diabaikan apabila pembahagian pusaka tidak didasarkan kepada sistem syariah tersebut. Kedua-dua abang yang tua menindas saudaranya yang bongsu. Persaudaraan bukan lagi menjadi timbangtara apabila berdepan dengan harta dan ketamakan. Keindahan syariat Islam dalam pembahagian pusaka tidak dapat dipertahankan dalam era kemodenan yang akhirnya membawa pertelingkahan dalam kalangan para pewaris harta si mati. 

Yang ikhlas dan berhati mulia berakhir dengan kebahagiaan manakala mereka yang tamak dan berhati busuk berakhir dengan kehinaan. Satu babak dalam filem Tiga Abdul yang menunjukkan bahawa Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang tamak dijual secara ellong sebagai hamba abdi  dalam pasaran terbuka


Sistem penghambaan digambarkan masih wujud dalam masyarakat. Majlis tarian dan keramaian yang bercanggah dengan syariah Islam dipaparkan dalam filem untuk menggambarkan bahawa sistem sekular Barat mula menjelma dalam masyarakat Turki. Muzik rancak irama Barat menjelma dalam masyarakat. Mesej filem untuk menyatakan seseorang yang ikhlas dalam kehidupan akan mengalahkan yang tamak dan zalim, akhirnya. Nilai keadilan yang dibawa sepanjang era pemerintahan sultan Turki telah pupus dan masyarakat mula menjadikan keduniaan sebagai matlamat hidup mereka, walaupun terpaksa melakukan kezaliman kepada adik kandung sendiri. Watak-watak Sadiq Sigaraga dan Kasim Patalon sebagai watak yang menmbawa akhlak yang buruk dibandingkan dengan peguam yang bernama Akhlakin, yang masih mengamalkan nilai yang mulia dengan mengembalikan kembali harta Ismet Ulam Raja kepada Abdul Wahub.

Seruan Mustafa Kamal Ataturk agar masyarakat Turki meninggalkan budaya hidup Islam dan mengamalkan budaya Barat mula menjadi nilai baru Turki. Pergaulan bebas lelaki perempuan yang dilarang Islam, menjadi amalan moden Turki. Ataturk sendiri menunjukkan tradisi ini apabila menari mengikut tarian Barat dikhalayak ramai. Tarbus diharamkan dan diganti dengan topi Eropah. Cara hidup yang bertemakan hedonisme Barat digalakkan dalam masyarakat. Hiburan, nyanyian yang diiringi muzik rancak menggantikan alunan al-Qur’an dan zikir. Majlis perkahwinan Abdul Wahub dengan pasangannya digambarkan punuh dengan tema kebaratan.  


Tiga Abdul menampilkan era peralihan antara Uthmaniyyah Islam dengan Turki sekular dengan peragaan pakaian tarbus tradisi yang dipadankan dengan pakaian bertali leher dan kot. Suasana harijadi Ismet Ulam Raja disuaikan antara tiupan lilin Barat dengan nyanyian yang bertemakan “Allah selamatkan kamu”. Inilah wajah baru masyarakat Turki ketika itu yang menghadapi krisis identiti dengan menyangka kemajuan teknologi Barat berkait dengan pakaian, sedangkan teknologi Barat dicedok daripada teks sains dan teknologi Islam. 


Perkahwinan Abdul Wahub dengan pasangannya digambar kan dalam  suasana kebaratan dengan busana moden yang dimulakan pemakiannya di Turki ketika itu. 


Bapa mertua Abdul Wahub serta penasihat makarnya  turut memakai gaya pakaian yang sama walaupun tarbus masih dipakai. Filem ini berlatar belakang detik kejatuhan Uthmaniyyah serta kecelatuan umat Islam ketika itu.

Wallahua'lam


*Ringkasan dari Buku Prof Madya Dr Mat Rofa

Thursday 26 March 2015

Agama Tidak Pernah Mati

Percaya akan adanya Yang Maha Kuasa, yang mengatur seluruh alam  adalah suatu yang asli dalam jiwa manusia. Ianya bermula sejak orang yang masih biadap hidup di hutan, sampai kepada ahli falsafah di dalam bilik kerjanya. Percaya pada Tuhan adalah pokok permulaan. Walaupon kemudian akal sudah terlalu pintar dan logik mengatasi wahyu mula menyeleweng.

Lantaran itu tidak hairanlah jika ada sarjana yang otaknya mengingkari Tuhan, tetapi hatinya masih tetap beriman. 

Ianya fitrah. 

Dan fitrah itu tidak dapat dihapuskan sama sekali. Ianya perlu dibimbing dengan penuh hikmah.


Anggapan tentang adanya Tuhan boleh berubah-ubah kerana perubahan kecerdasan dan penyelidikan, kerana luasnya ilmu, atau juga kerana sempitnya ilmu. Namun kesimpulan semuanya hanya satu, "Tuhan ada".

Kita lihat kepada sejarah.


Revolusi Perancis

Sewaktu terjadinya revolusi Perancis, orang-orang memberontak melawan gereja yang dipelopori oleh Voltaire. Sebab-sebab tercetusnya pemberontakan ini pada dasarnya bukanlah erana tiada mempercayai Tuhan. Tapi kerana golongan-golongan agama atau pendeta  yang menggunakan agama dalam acuan penyelewengan untuk mengekang akal, membelenggu fikiran dan menggelapkan hidup sekeliling kerana sempitnya faham dan kebodohannya.

Seketika berlakunya pemberontakan, mereka masih tidak memisahkan orang  antara agama dan gereja, bahkan diantara pendeta dan Tuhan. Mereka memberontak dari institusi gereja, lalu hendak menghapuskan agama.

Akhirnya malaplah api revolusi, maka dengan beransur kembalilah orang kepada agama. Orang ramai berbalik semula kepada Tuhan dan tidak ada sesuatu keadaan pon yang dapat menghilangkan Tuhan dari hati manusia. Setelah bangsa Perancis menjadi penentang Tuhan yang sangat radikal, namun tidak lama kemudian mereka menerima Katolik sebagai suatu kenyataan.


Revolusi Attaturk

Di Turki juga seakan-akan muncul gerakan hendak menghapuskan agama melalui revolusi Kamal Pasya (Atarturk). 

Malahan kalimah "azan" di turkikan. 

Agama dibentuk menjadi kebangsaan.

Segala simbol yang melambangkan agama hendak dihancurkan, sehinggan serban di kepala pun hendak dihabiskan.

Akhirnya Turki diakui kemajuannya dalam bentuk lain, dan agama tetap ada di dalam dada umat Turki. 

Cumanya Kamal Attaturk yang mati. 

Agama tidak MATI !


Revolusi Rusia

Kita lihat pula revolusi Rusia. Ianya adalah tentangan yang hebat terhadap agama. Malah Karl Marx pernah mengatakan, "Agama candu yang meracun jiwa rakyat".

Tuhan dijadikan ejekan, dikatakannya semua itu sebagai khayal kaum kapitalis sahaja.

Segala kepercayaan tentang kebebasan memeluk keyakinan, kepercayaan tentang hari kemudian di basminya.

Gereja dijadikan kandang kuda, masjid dijadikan gudang gandum.

Akhirnya, Stalin dahulu yang mati. Adapun agama masih hidup di Rusia hingga kini. Walaupun hingga sekarang diusahakan dengan pelbagai macam  propaganda supaya orang membelakangi agama. Dituduhnya orang yang masih beragama sebagai 'reaksioner'. Namun yang atheis tidaklah bertambah jumlahnya.

Orang yang kembali ke gereja bertambah, walaupon betapa ketika itu dibanterasnya.

Kekuasaan pendeta atau paderi atau 'mufti' sebagai Rasputin mungkin boleh dihapuskan, tetapi kekuasaan agama, kekuasaan kepercayaan tentang adanya Tuhan, masih tetap subur dalam jiwa orang Rusia.

Demikianlah hebatnya propaganda dilakukan, dengan pelbagai cara , namun agama masih ada dan masih terus berjalan di Rusia yang mencuba menghapuskan agama dari hati orang.


Syu'ur

Seseorang itu mungkin dapat dipisahkan daripada kepercayaan akan adanya Tuhan jika ia dibunuh. Tetapi akan dihabiskankah segala isi dunia ini ?

Kerana, asal bermula dari kepercayaan kepada Tuhan adalah perasaan (syu'ur) manusia itu sendiri. Perasaan adalah sebahagian dari kejadian manusia. Bahkan banyak peninjauan akal dimulai terlebih dahulu dari perasaan.

Apa ertinya persahabatan ? 
Apa ertinya kasih dan cinta ?
Apa ertinya sayang ibu mengasihi anaknya ?
Apa ertinya tolong-menolong ?
Apa ertinya kemahuan ?


Semuanya tidak ada etinya kalau tidak ada perasaan.


Kalau perasaan tidak ada, hidup menjadi kering dan kersang ibarat hidup seperti "robot" yang berjalan. Hidupnya kering dan kontang dari nilai kehidupan insani.

Ianya boleh dikatakan,"Tidak ada perasaan, tidak ada hidup."

Maka perasaan akan adanya Tuhan adalah sebahagian daripada hidup itu sendiri, yang tidak dapat dihapuskan. Seperti Kasih ibubapa kepada anaknya, cinta suami pada isterinya didalam sebuah rumahtangga yang berbahagia.

Perasaan adalah pelopor, dan akallah kelak yang menuruti. Dan setelah akal bekerja keras menuntut ilmu, akhirnya kembali pula perasaan tadi yang memegang peranannya.

Mereka yang ingin menghapuskan agama itu adalah mereka yang ditutup laluan fitrahnya oleh Yang Mencipta fitrah. Akalnya berfungsi di pandu perasaan luar tabii'.

Wallau'alam.






Wednesday 25 March 2015

Barah Kontraproduksi

"Mereka mengajak manusia berinfak, tetapi mereka sendiri kikir. Mereka mengajak manusia berakhlak, tetapi akhlaknya sendiri tidak terpuji. Mereka mengajak manusia berjihad, namun mereka sendiri bukan mujahid. 
Atau mereka mengajak untuk tawadhu’, tetapi mereka sendiri congkak, mengajak untuk ithar, namun mereka sendiri egois, mengajak untuk jujur namun mereka sendiri pembohong, mengajak untuk amanah akan tetapi mereka sendiri berkhianat, mengajak untuk senantiasa istiqomah namun mereka sendiri sering menyimpang, mengajak taat namun mereka sendiri bermaksiat, mengajak untuk selalu mencari yang halal namun ia sendiri selalu bergelumang dengan yang haram, dan sebagainya.
Hal ini dikatakan sebagai suatu kontraproduksi: sebagian mereka membangun, sedang sebagian lain meruntuhkan. Sebagian mereka menghimpunkan, sedang sebagian yang lain mencerai-beraikan. Sebagian mereka menarik simpati, sedang sebagian yang lain manimbulkan kebencian..”
Petikan dari Penulisan Allahyarham Ustaz Rahmat Abdullah berjudul “Untukmu Kader Dakwah”.

Itulah Kontraproduksi..
Fenomena yang membarah ini perlahan-lahan menghancurkan apa saja bentuk rawatan yang sedang memulihkan keadaan umat. Jika setiap hari semakin bertambah golongan yang jelik kepada Islam, ini lah salah satu punca besarnya. Jika setiap hari masih ada yang rasa benci kepada Islam, inilah salah satu punca besarnya.
Bahkan Jika setiap hari tetap ada muslim sendiri yang hilang yakin kepada islam, inilah salah satu punca besarnya.
Kita hidup dalam budaya penuh kecelaan. Dalam mengajak kebaikan pun, kita bersulam dengan keburukan.
Sejarah mengajar kita bahwa jika barisan pertempuran tidak bersih dari keberadaan jiwa-jiwa munafiq, kekalahan, kerosakan malah keruntuhan agama akan melanda ummat ini. 
Jiwa-jiwa ini berlindung di sebalik ikrar iman, tetapi hati dan anggota badannya tidak taat kepada Allah. Jiwa-jiwa ini akan melemahkan kekuatan dan menggoyangkan kesatuan. Jiwa-jiwa ini akan menjatuhkan bata-bata yang disusun letak oleh tangan-tangan yang jujur dan ikhlas, akhirnya, tidak ada apa pun yang dibina.
Kita nak orang ramai berubah, tetapi kita sendiri perlu berubah.
Janganlah diri kita menjadi penyumbang kepada keruntuhan.



Monday 23 March 2015

Kritik Bukanlah Menghina

Kritikan itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Namun kritikan itu perlulah di jelmakan dengan akhlak yang baik. Jika cara mengkritik itu di luahkan dengan cara atau akhlak yang buruk, keburukannya akan lebih terserlah meskipun terdapat banyak perkara rasional dalam kritikannya.


Menurut Hamka, kritikan itu menyihatkan masyarakat. Ahli kritikan diminta menunjukkan kekurangan-kekurangan yang ada.

Yang terpuji, ialah kritikan yang menunjukkan kesalahan dengan maksud untuk memperbaikinya, dan sesekali tidak bermaksud menghinakan dan merendahkan martabat organisasi/orang yang dikiritiknya. Kritikan yang membangun amat besar manfaatnya kepada masyarakat. Sebab tiap-tiap orang yang dikritik berusaha memperbaiki kesilapannya akan datang.

Yang tercela,ialah kritikan yang semata-mata ditujukan untuk menghancurkan, meruntuhkan dan menyinggung kehormatan individu atau sesuatu kumpulan. Kritikan seperti ini sangatlah merugikan masyarakat. Kerana masyarakat tidak di ajar untuk menghargai hasil kerja orang lain.

Tiap-tiap bunga yang akan tumbuh dan berpucuk, sentiasa diregas, dipijakkan dan diruntuhkan. Masyarakat menjadi rugi dengan cara ini.

Ahli kritik kadang-kadang kepandaiannya hanyanya mengkritik itu sahaja. Maka sebab itu orang yang dikritik tidak boleh marah-marah dan meradang seraya berkata"

"Pandainya cuma mengkritik, tapi tidak dia sendiri tidak mampu melakukannya"

Ahli pengkritik kadang kala tentu tidak dapat membuat lebih baik seperti itu. Dia mungkin hanya dapat menunjukkan dimana salahnya dan menyuruh memperbaikinya, dan ahli pengkritik perlu sanggup memuji dimana kelebihan dan kehebatan orang yang dikritiknya,lalu disanjung dan dinaikkan martabatnya.

Tetapi, meskipun dikritik, tidaklah wajib seseorang itu mengubahnya jika kritikan itu tidak bermanfaat, kerana keputusan bukan ditangan orang yang mengkritik. Namun tidak dinafikan kedudukan ahli pengkritik dalam pembangunan sesuatu amat diperlukan.

Kritik bukanlah menghina, kritik jangan sampai menghina.

Saturday 14 March 2015

16 Saranan Untuk Suami Ketika Isteri Hamil

Sedikit pelik jika saya menulis tips-tips ini sedang saya masih belum punyai pasangan apatah lagi belum lagi punyai anak dan memiliki pengalaman ini. Namun, apa yang di tulis ialah hasil dari bacaan saya dalam satu buku seperti yang tertera pada gambar di bawah. Saya suka berkongsi apa yang saya baca kepada semua, agar apa yang saya dapat tidaklah hanya berlegar di ruangan kepala saya sahaja. Kerana sifat ilmu itu perlu disebarkan dan dikembangkan.



Khusus Buat Para Suami


Pada Waktu kehamilan, biasanya seorang isteri akan menjadi lebih sensistif. Jadi seharusnya seorang suami, bersabarlah dalam melayan kerenah isteri. Ringankan beban isteri menguruskan rumah tangga seperti membantu membuat kerja rumah ataupun menyediakan keperluan anak. Beri sokongan moral kerana emosi isteri mudah terganggu ketika hamil.


Jadilah seorang suami yang prihatin dan sensitif terhadap keperluan isteri. Fahami keadaan isteri apabila dia berkelakuan aneh. Kebiasaannya ini hanya seketika sahaja.

"Jika seorang isteri 9 bulan boleh bersabar mengandungkan hasil bersama keseorangan, takkan kita tidak mampu bersabar hanya untuk memberi sokongan padanya. Kesabaran dan keprihatinan suami dapat membantu isteri melalui saat kehamilan dengan baik"

Khusus buat para suami, terdapat beberapa saranan yang perlu dilakukan oleh suami dalam menghadapi situasi ini.

1. Bersyukur
Menemani isteri ketika temu janji doktor bagi memeriksa kandungan, terutamanya pada awal kehamilan merupakan amalan yang baik. Zahirkan rasa syukur kerana di anugerahkan zuriat. Allah S.W.T akan menambah nikmat bagi para hamba-Nya yang bersyukur.

2. Peka Terhadap Emosi
Tunjukkan bahawa anda peka dan mengambil berat terhadap perubahan emosi, fizikal dan pemikiran isteri.

3.Bijak  Kawal Krisis
Jika terdapat tanda-tanda akan timbul  krisis disebabkan emosinya yang kurang stabil, bertenang dan selesaikan dengan segera dengan baik.

"Apabila kamu marah, imbangi emosi kamu dengan akal"
_Ben Bayyah_


4. Manjakannya
Manjakan isteri dan kandungan dengan belaian kasih sayang. Luangkan masa berbual dengan isteri dan anak dalam kandungan. Berkongsilah rancangan menyambut kelahiran seperti persiapan, kewangan, peralatan, nama yang akan diberi, cuti, kedatangan keluarga kedua-dua pihak dan sebagainya.






5. Bersikap tolak ansur
Suami memahami tambahan bebanan yang di tanggung oleh isteri. Makanya, maafkanlah kekurangan isteri dalam melayani suami.

6. Beri Semangat
Selalukanlah memberi nasihat-nasihat yang baik yang dapat menguatkan semangat dan jiwanya.

7. Doa
Perbanyakkan berdoa agar isteri dan bayi sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat. 



8.Jujur
Suami hendaklah berlaku jujur ! Hadapilah rintangan dengan berbincang dengan pasangan untuk mengelakkan salah faham dan sebagainya.

9.Simpati
Lebihkan kasih sayang dan simpati sehingga isteri merasakan ada pembela ke atas dirinya. Inilah salah satu resepi keserasian berumah tangga.

10.Tunaikan Permintaan
Biasanya, isteri akan mengidam ketika hamil. Usahakanlah tunaikan permintaan isteri yang tidak melampau.

11. Tenangkan Isteri
Biasanya kegelisahan isteri akan lebih ketara menjelang tarikh kelahiran. Tenangkan dan temaninya ketika proses kelahiran, beri kata-kata semangat kepadanya.







12. Diet Seimbang
Ingatkan dan galakkan isteri agar mengamalkan diet yang seimbang bagi menjaga kesihatannya.

13.Suasana Sihat
Wujudkan persekitaran dan suasana yang sihat dan selesa untuk isteri tersayang.


14. Berhati-Hati
Berlemah-lembut dan berhati-hati dalam melakukan hubungan jimak terutama ketika penghujung kehamilan dan menangguhkan hubungan intim atas nasihat doktor seperti kes isteri mempunyai placenta praevia.

15. Kelas Pranatal
Bila ada waktu dan kesempatan, ikuti kelas pranatal sebagai persediaan untuk isteri bersalin.

16. Segera Ke Klinik
Segera ke klinik atau hospital jika isteri mengalami sebarang kesakitan.






Wallahu'alam


Sunday 8 March 2015

Lelaki Tidak Di Anggap Mulia Dari Wanita




Hakikat kejadian lelaki dan wanita itu sendiri adalah berbeza. Bukan setakat fizikal, bahkan keupayaan dan kemampuan yang Allah SWT kurniakan kepada lelaki dan wanita juga berbeza. Adkalanya apa yang lelaki mampu lakukan tidak dapat dilakukan pada wanita, dan adakalanya apa yang dilakukan oleh wanita tidak mampu dilakukan oleh lelaki. Perbezaan ini adalah suatu rahmah, sebagai pelengkap antara satu sama lain.

Itulah yang dikatakan pasangan. 

Sifat berpasang adalah saling melengkapi antara satu sama lain. 


Tiada satu yang lebih hebat melainkan, setiap satu ada kelemahan dan kekuatan.


Gelaran "Isteri' Dalam al-Quran

Menariknya, perkataan Allah SWT gunakan dalam al-Quran bagi menunjukkan suami ataupun isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. 

Misalnya dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah 'husband' manakala untuk isteri ialah 'wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah 'mari' manakala 'femme' untuk isteri.


Dalam al-Quran, suami dan isteri tidak disebut dengan dua perkataan berbeza. Ianya disebut 'zaujuh' dan 'zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan bagi kedua-duanya iaitu ' zaujuh' yang membawa maksud 'pasangan'. Islam melihat suami dan isteri sebagai pasangan, penutup dan juga pelindung antara satu sama lain. 

Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan.

Sudah tentulah ini bermakna kaum lelaki dalam Islam tidak di anggap lebih mulia daripada kaum wanita.

Apabila kita mengatakan sepasang kacamata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Sudah tentu kita tidak menganggap stokin sebelah kanan lebih baik dari stokin sebelah kiri.

Begitulah ibaratnya sepasang suami dan isteri dalam al-Quran.

Namun gelaran 'zaujuh' ini hanya diberikan kepada isteri yang sama-sama beriman dengan seperti suami mereka. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak di sebut sebagai 'zaujuh'. Contohnya isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Dalam al-Quran mereka di sebut ' imraah', kerana isteri sebegini tidak di anggap pelengkap, pelindung ataupun penutup kepada suaminya.

Kerana itu dalam Islam, kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT tidak di ukur kerana jantinanya, tidak di ukur krana kekuatan dan kemampuannya.

Kemuliaan disisi Allah SWT di ukur melalui KETAQWAANNYA kepada ALLAH SWT.


"Dalam al-Qur'an Allah kadang kala memulakan dengan menyebut perempuan dahulu baru sebelum lelaki. Perempuan menyempurnakan lelaki. Yang memuliakan wanita adalah orang yang mulia dan yang merendahkan wanita adalah hina,"


Petkan dari,
_Bunga Kebahagiaan, TGNA_