Wednesday 31 December 2014

Rabiul Awwal Dan Tahun Baru - Bezakah Kita Dengan Abu Lahab ?

  بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah, Aku mulakan dengan ayat ini..sebagai peringatan dan bacaan amalku..

"..الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دينَكُمْ وَ أَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتي‏ وَ رَضيتُ لَكُمُ الْإِسْلامَ ديناً.."
"..Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..." (Al-Maidah ayat 3) 

Rabiulawwal 1436 ...

Ada yang bertanya saya "kenapa sejak kebelakangan ni asyik post pasal hijrah Rasulullah tapi bukan ke maal hijrah dah lepas".

Entry kali ini ingin saya kongsikan sesuatu berkenaannya. Pada awalnya saya ingin sampaikan tulisan ini pada 12 Rabiulawwal ini yang bersempena dengan sambutan kelahiran Rasulullah SAW iaitu Sambutan Maulidur Rasul  yang saya pasti ramai yang akan post atau update status 'salam maulidurrasul' dan sebagainya. Tapi saya fikir, penting juga untuk saya tulis terlebih awal kerana hari ini hari terakhir bagi Tahun 2014 dan kita bakal memasuki  Tahun 2015 yang pastinya akan ada pula mereka yang kononya memasang azam baru untuk 'hijrah' ke arah lebih baik. Dan kebetulan dengan itu, hari ini kita berada pula di dalam bulan Rabiulawwal yang mempunyai suatu peristiwa yang cukup penting dalam catatan sirah Rasulullah SAW, iaitu BULAN HIJRAH. Bulan yang seharusnya kita hayati catatan sirahnya melebihi tahun masihi. Mudah-mudahan, dapat sama-sama kita hayati maulidur Rasul, perjalanan sirah Rasulullah serta memasuki fasa tahun baru masihi dengan sesuatu yang manfaat melaui penghayatan ilmu sirah ini. 


Saban tahun Maal Hijrah dan 12 Rabiul Awwal disambut meriah. Namun, sambutan tersebut tidaklah mampu memberikan impak yang maksima dalam menegakkan Islam sekiranya sambutan itu dilakukan tanpa penghayatan sebenarnya kepada perjuangan Rasulullah SAW.

Pertikaian tentang Maulidurrasul saban tahun tidak kurang hebatnya. Malang sekali, umat Islam hari ini lebih suka 'bergaduh' dalam hal-hal yang langsung tidak meningkatkan keimanan malah yang lebih menyedihkan apabila masalah fundamental ummah jarang diperbincangkan seperti runtuhnya akhlak dan jati diri umat Islam tetapi sering mempertikaikan dan memperdebatkan perkara yang khilafiyah. Saya tidak ingin membahaskan soal bila hari sebenar Nabi dilahirkan, kenapa berbeza, soal maulidur Rasul boleh sambut atau tidak, kerana ianya sudah dibincangkan oleh ulama'-ulama' yang tinggi ilmunya dan di akui kesalehannya.

Namun apa yang saya ingin ingatkan kalian yang sudi membaca tulisan ini, dalam pada kita menyambut atau tidak, janganlah kita lupa beberapa perkara penting yang telah berlaku pada bulan Rabiul Awwal yang telah mengubah dunia;

 Antaranya ialah:

1. Kelahiran Rasulullah SAW
2. Hijrah Rasulullah SAW
3. Terbinanya Masjid Quba' dan Masjid Nabawi
4. Kelahiran Daulah Rasulullah SAW 
5. Kewafatan Rasulullah SAW
6. Kelahiran Pewaris Perjuangan Rasulullah SAW

Namun hanya beberapa perkara sahaja yang ingin saya fokuskan di sini. Selebihnya kalianlah yang harus memikirkan dan hayati peristiwa-peristiwa lain sepanjang perjalanan sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kelahiran Rasulullah SAW

Apabila berbicara tentang ini, teringat pula saya pada tinta Ustaz Azhar Yahya berkenaan maulidur Rasul ini. Kata Ustaz, Kelahiran Rasulullah SAW bukanlah kelahiran biasa yang perlu disambut dengan girang gembira sahaja tetapi kelahiran yang membawa “nur” menyinari sekian alam. Kata Ustaz lagi;
"Jika sambutan Maulidurrasul hanya sekadar disambut dengan gembira, Abu Lahab adalah antara orang yang paling gembira menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Janganlah kita menjadi seperti Abu Lahab yang beria-ria menyambut kelahiran Rasulullah tetapi setelah dikemukakan kebenaran dia pula menjadi penentang nombor satu".
Sekiranya ingin menyambutnya, sambutan ini perlulah dijadikan satu sambutan yang benar-benar memberikan sinar suluhan kepada kepada ummah dalam mereka menempuhi dunia yang penuh kegelapan maksiat dengan suluhan kenabian. Jika kita tidak meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan menyebarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, apalah gunanya kita beria-ria menyambut kelahirannya? Seolah-olah tiada ertinya. 

Sesungguhnya kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah peristiwa yang besar di dalam alam ini, benarlah firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 : وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ . Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu(Wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi rahmat bagi sakalian alam. Oleh kerana kelahiran Rasulullah SAW adalah satu perkara yang sangat besar kepada seluruh alam,menjadi kemuncuk nikmat Allah kepada umat manusia

Copy and WIN : http://bit.ly/copy_win
Kelahiran Nabi Muhammad saw dikala umat manusia dalam kegelapan dan kehilangan pegangan hidupnya, lahirlah ke dunia dari keluarga yang sederhana di kota Mekah. Seorang bayi yang kelak membawa perubahan besar bagi sejarah perabadan dunia. Sesungguhnya kelahiran Nabi Muhammad SAW juga adalah peristiwa yang besar di dalam alam ini, benarlah firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 :

 وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ 

"Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu(Wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Oleh kerana itu, kelahiran Rasulullah SAW adalah satu perkara yang sangat besar kepada seluruh alam, yang menjadi kemuncak nikmat Allah kepada umat manusia hari ini. Hayatilah Rabiul Awwal ini dengan penuh makna.

 

Hijrah & Kelahiran Daulah Rasulullah SAW

Berapa ramaikah yang menyedari bahawa kita sekarang berada di dalam bulan hijrah ? Pati ada yang masih menyangka bahawa sambutan Maal Hijrah pada 1 Muharram itu adalah bulan baginda Nabi SAW behijrah ke Madinah. Sebaliknya, Muharram bukanlah bulan hijrah tapi ianya bulan yang diletakkan sebagai bulan yang pertama dalam tahun hijrah. Begitupun Maal Hijrah di sambut sebegitu meriah tetapi malangnya masih ada yang tidak tahu bilakah peristiwa penting Hijrah Rasulullah SAW bermula kerana hanya semata-mata menyambutnya tanpa menghayati sirah perjuangan nabi sedalam-dalamnya, sebaliknya hanya sekadar memerhati kalendar untuk merancang aktiviti cuti dan menunggu untuk update status 'Salam Maal Hijrah'.


Kenapa perlu kita hayati peristiwa penting ini ? Sudah tentu ianya mengandungi nasihat dan tauladan yang penting sehinggakan ianya di sambut sebegitu malah ditetapkan pula cuti am bagi hari-hari tersebut. 

Bermula dengan kelahiran Baginda Rasulullah SAW sehingga membawa kepada baginda di angkat menjadi Rasul, orang yang begitu gembira sekali pada hari kelahirannya bertukar menjadi orang yang paling kuat menentang baginda Rasulullah. Akibat Penentangan Abu Lahab inilah yang perlu diubah dengan memahamkan ummah ini bahawa Rabiul Awwal ini membawa kepada beberapa lagi peristiwa besar yang ditakdirkan Allah s.w.t iaitu Hijrah Rasulullah (s.a.w) ke Madinah yang bermula pada akhir Safar hinggalah Rasulullah SAW sampai di Kota Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Di dalam perjalanan hijrah ini juga tercatat juga suatu peristiwa penting ketika Nabi saw singgah di Quba' pada 8 Rabiulawwal yang mana di situlah terbinanya sebuah Masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah SAW bersama sahabat, iaitu Masjid Quba' yang dibina atas dasar taqwa dan menjadi lambang  kebebasan untuk melakukan ibadah setelah sekian lama mereka di halang untuk mendirikan solat oleh pihak Quraisy.


Dalam peristiwa hijrah inilah akhirnya membawa kepada tertegaknya Daulah Rasulullah SAW setelah 13 tahun baginda menghadapi tentangan oleh mereka yang dahulunya begitu gembira menyambut kelahiran baginda. Apa yang ingin saya fokuskan disini, Kejayaan hijrah inilah yang membawa kepada tertegaknya Islam di Bumi Arab yang akhirnya dapat disaksikan bahawa Islam telah tersebar luas dan mula diterima ramai termasuk mereka yang dulunya menentang baginda nabi saw. Inilah semangat hijrah dan azam baru yang patut kita hayati dan tanamkan ke dalam diri kita. Perjuangan ini di teruskan hinggalah ke saat terakhir hayat baginda pada hari kewafatan Baginda di hari Isnin 12 Rabiulawwal tahun ke 11 Hijrah.

Kewafatan Rasulullah & Kelahiran Pewaris Perjuangan Rasulullah


Baginda yang kita sambut kelahirannya itu telahpun wafat, maka hendaklah disedari bahawa kewafatan baginda bukanlah masa untuk ditangis-tangiskan semata tetapi adalah masa untuk menyedari bahawa Baginda telah meninggalkan sesuatu warisan yang besar untuk diwarisi iaitu PERJUANGAN UNTUK MENDAULATKAN AGAMA INI. Di sinilah bermulanya kelahiran pewaris perjuangan Rasulullah SAW. Ya, pada bulan Rabiul Awwal ini ! Apakah kita lupa pesanan-pesanan pada saat-saat kewafatan Rasulullah ? Apakah kita sudah lupa setelah wafatnya Rasulullah, telah terpikul di bahu kita suatu tugas besar yang harus di teruskan oleh kita semua umat Islam. Suatu sunnah yang besar iaitu sunnah perjuangan menegakkan islam dan menguruskan dunia ini dengan Islam. Inilah azam kita.

Kitalah yang akan menjadi mata rantai penerus kepada perjuangan ini.Justeru, kefahaman kepada umat Islam perlu di terapkan dan semangat para pejuang patut dikobarkan dengan suntikan semangat hijrah untuk mendapatkan kembali “daulah” yang juga berlaku pada Rabiul Awwal. Hayatilah peristiwa-peristiwa penting dibulan ini yang mana ia mempunyai rantaian plot-plot bermanfaat untuk kita fikirkan.


Wallahu'alam


*Mohon maaf atas kelemahan penulisan ini

Tuesday 23 December 2014

Hikmah Ilahi- Air Kencing Bayi Lelaki Dan Perempuan

بسم الله الرحمن الرحيم

"Subhanallah, Alhamdulillah. Hebat dan cantiknya aturan yang Allah tetapkan pada setiap kejadianNya. Ibrah itu di mana-mana sahaja. Hari ini hujan, esoknya pelangi."

Entry kali ini ringkas sahaja. Dalam satu kelas bersama Dr Mat Rofa, Dr banyak memberikan contoh-contoh perbezaan antara lelaki dan perempuan.  Antara perkara yang menarik minat saya ialah berkenaan hikmah syariat Islam yang ditetapkan kepada bayi lelaki dan bayi perempuan. Syariat Islam terbina di atas hikmah Ilahi menerusi fitrah kejadian manusia. Lelaki dan perempuan bukan hanya dibezakan dengan ciri biologi semata-mata bahkan berbeza secara fitrah kejadian dan hikmah fungsi kedua-duanya gender dalam kelangsungan hidup di bawah bayangan syariat. Anak ialah anugerah Ilahi kepada manusia. Sama ada lelaki atau perempuan, kedua-dua anugerah Ilahi itu harus disyukuri. Setiap mereka ada kelebihan tersendiri. 

Gambar sekadar Hiasan

Bayi lelaki dan bayi perempuan mempunyai perbezaan tersendiri. Marilah kita merenungi hakikat perbezaan ini menerusi contoh yang seterusnya. Perbezaan ini, antaranya ialah tentang kandungan kencing kedua-dua bayi itu sebelum umur mereka mencapai dua tahun yang hanya bergantung kepada susu ibu. Perhatikan satu hadith saw yang yang bermaksud:
Umm al-Qais menceritakan bayi lelakinya yang belum mencapai dua tahun dibawa kepada Rasulullah saw lalu bayi itu kencing di atas pakaian baginda; baginda meminta air lalu merenjis pakaiannya yang terkena kencing tetapi tidak membasuhnya, (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud).

Demikian pula diceritakan oleh Umm al-Fadl bahawa al-Husain bin Ali kencing di atas riba Rasulullah saw lalu aku bertanya, lalu dijawab oleh baginda air kencing kanak-kanak lelaki hanya perlu direnjiskan air dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh (riwayat Ahmad).

"...air kencing kanak-kanak lelaki hanya perlu direnjiskan air dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh.."
Kaedah menyucikan kencing kedua-dua bayi lelaki dan perempuan yang berbeza itu tentulah ketentuan syariah yang ada hikmahnya. Dalam fiqh, kencing kanak-kanak lelaki dianggap najis ringan atau mukhaffafah, berbeza dengan air kencing perempuan. 
Dua orang saintis Muslim dari Universiti Duhuk Iraq yang bernama Asil Muhamamd Ali dan dan Ahmad Muhammad Saleh cuba menyelami kemungkinan hikmah yang ada di sebalik dua hukum yang berbeza itu.

Mereka mengkaji seramai 35 bayi lelaki dan 38 bayi perempuan. Air kencing mereka dianalisis khususnya analisis yang berkaitan dengan kandungan bakteria. Kanak-kanak itu dikelaskan kepada umur masing-masingnya sebulan, dua bulan, tiga bulan dan seterusnya dengan anggapan semakin muda usianya mereka semakin bergantung kepada susuan ibu sebagai makanan mereka. Mereka menumpu perhatian kepada bacteria escherichia coli.

 
Setiap lelaki dan wanita itu punyai perbezaannya

Keputusan yang diperoleh ialah seperti yang berikut:
Bagi usia 30 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 95% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. 
Bagi usia 60 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 91% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki.
Bagi usia 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 93% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. 
Bagi usia melebihi 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 69% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki.
 
Gambar sekadar hiasan
Hasil penyelidikan ini menunjukkan bahawa kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan semakin berkurangan apabila umur meningkat manakala kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki semakin meningkat dengan peningkatan umur.
Menurut kedua-dua pengkaji Muslim itu, hakikat saintifik yang terlindung di sebalik syariat Islam berkaitan dengan air kencing bayi menunjukkan syariat Ilahi sangat sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sebagai Muslim, tentulah kita yakin bahawa Pencipta yang mencipta manusia lebih mengetahui tentang fitrah kejadiannya lalu syariat diturunkan berdasar fitrah itu.



Lelaki dan wanita daripada anak Adam as berbeza sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. Hal ini ditegaskan dalam al-Qur’an apabila ibu Maryam yang menyangka melahirkan anak lelaki tetapi bayi perempuan, yakni Maryam yang dilahirkan.
“Tatkala ia melahirkannya lalu ia berkata Tuhan-ku, aku telah melahirkan bayi perempuan, sedangkan Allah lebih mengetahui bayi yang dilahirkan itu, dan bukanlah sama lelaki dengan perempuan, dan sesungguhnya aku namakannya Maryam…” (Ali-`Imran, 36).
Lelaki dan perempuan mempunyai keistimewaan masing-masing. Masing-masing mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki yang lainnya, ibarat tangan kiri dan tangan kanan, seperti kaki kiri dan kaki kanan. Kedua-duanya tidak sama tetapi sepadan yang diperlukan kedua-duanya untuk melangkah ke hadapan. Namun dari segi amanah dan tanggungjawab serta perintah mencari ilmu kedua-duanya diberikan hak yang sama oleh Islam sejak dahulu.
 
Gambar sekadar hiasan

Marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat Ilahi, sama ada kita dilahirkan sebagai seorang lelaki atau seorang perempuan. Kedua-duanya mempunyai amanah dan peranan. Perjalanan yang jauh itu memerlukan langkah yang teratur, kiri dan kanan.  

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar !!


Wallahu'alam

Friday 19 December 2014

Hijrah Rasulullah- Usaha Pembunuhan Ke Atas Rasulullah

بسم الله الرحمن الرحيم

"Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan lipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya".
(al-Anfal: 30)


Kisah malam ini, malam ‪#‎27Safar‬. Malam inilah Rasulullah mula keluar rumah untuk melaksanakan perintah Allah SWT untuk berhijrah. Rasulullah meninggalkan rumahnya untuk berhijrah pada malam 27 safar tahun ke 14 kebangkitan dakwah Rasulullah. Pada malam inilah pihak Quraisy mengepung rumah baginda untuk membunuh baginda Rasulullah.

PENGEPUNGAN RUMAH RASULULLAH S.A.W

Kata Ibnu Ishak: Bila malam bergerak gelap, mereka pun berkumpul di pintu menunggu baginda tidur, di masa itu mereka akan menyerang serentak. Mereka dengan penuh keyakinan dan kepercayaan yang mereka akan berjaya dengan pakatan jahat itu, di mana Abu Jahal berdiri dengan penuh sombong dan ujub, sambil mereka bertanya kepada semua pengikutnya itu, yang sedang mengepung rumah Rasulullah penuh senda dan ejekan terhadap kesudahan Rasulullah dengan katanya, "Itu dia Muhammad yang pernah menjanjikan kamu semua, sekiranya kamu mengikutnya beliau akan serah kuasa kepada kamu sebagai Mahajara Arab dan Ajam, kemudian kamu akan dibangkitkan semula dari kubur kamu, deng menyerahkan kunci syurga seperti taman-taman di Jordan kononnya, dan sekiranya kamu tidak mahu menurutinya kau akan disembelihnya, setelah itu kamu akan dihidupkan semula kemudian sekali lagi kamu akan diazab dengan disumbat ke dalam neraka yang membakar".

Pihak Quraisy sedang mengintai rumah Rasulullah - Babak Dalam Omar Series

Waktu mereka akan bertindak ialah pada lewat tengah malam, untuk itu mereka berjaga sepanjang malam menunggu detik terakhir, namun Allah mengatasi seluruh perancangan. Allah yang Mentadbir segala petala langit dan bumi, Allah mampu berbuat segala sesuatu yang dikehendakiNya, ianya mampu melanggar sesuatu tetapi tiada suatu pun yang mampu melanggarNya.

Pihak Quraisy menunggu hingga Rasulullah keluar untuk dibunuh-Omar Series


RASULULLAH MENINGGALKAN RUMAHNYA

Di dalam suasana pihak Quraisy begitu prihatin dengan perancangan mereka, namun mereka gagal di saat terakhir dan kritikal ini, Rasulullah telah meminta Saidina Ali (r.a) dengan sabdanya, "Ayuh, kau tidur ditempatku ini dan berselimutlah dengan kain Hadramiku ini, dan lenalah, tiada suatu pun yang kau tidak suka itu akan terkena kau". Sebenarnya Rasulullah tidur biasa berselimut dengan kainnya itu.

Rasulullah pun keluar, membelah barisan sekatan mereka malah Rasulullah telah mengambil segenggam pasir dari atas tanah di mana baginda menaburkannya ke atas kepala mereka semua dan Allah membuta penglihatan mereka hingga mereka tidak sedikit pun melihat Rasulullah keluar di masa itu sambil membaca ayat Allah yang bermaksud:

"Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat.
(Yaa Siin: 9)

Pihak Quraisy mengepung rumah nabi tertidur sehingga waktu siang- Omar Series

Tidak seorang pun dari mereka yang terkecuali, malah kesemua mereka diletakkan tanah ke atas kepalanya, baginda terus berjalan ke rumah Abu Bakr. Rasulullah dan Abu Bakr keluar melalui jendela di rumah Abu Bakr di malam itu juga, hingga sampai ke gua Thur yang terletak dipertengahan perjalanan ke arah Yaman.

Mereka yang mengepung rumah Rasulullah menunggu-nunggu detik terakhir, malangnya sebelum sampai saat dan ketikanya terbongkar kegagalan, di mana seorang lelaki lain yang tidak bersama mereka telah datang menemui mereka semua, mendapati mereka sedang berkawal rapi di pintu rumah Rasulullah dengan katanya, "Apa yang kamu tunggu ini?" Jawab mereka, "Kami menunggu Muhammad". Jawab lelaki tadi, "Kau sudah gagal dan kehilangan peluang. Demi Allah, Muhammad sudah berlalu dari sini, malah telah menabur tanah-tanah ke atas kepala kamu semua dan kini beliau sudahpun beredar untuk tujuannya". Jawab mereka semua, "Demi Allah, kami tidak melihatnya pun". Mereka semua bangun, mengibas tanah dari kepala masing-masing.


Mereka cuma mengintai dari celah pintu dan mendapati Ali di tempat tidur Rasulullah, maka mereka berkata "Demi Allah, itu dia Muhammad sedang tidur berselimut dengan kainnya". Oleh itu, mereka pun tidak bergerak dari tempat masing-masing hinggalah ke subuh. Pada masa itu, Ali pun bangun dari tidurnya. Alangkah terkejut melihat keadaan yang mengecewakan itu, lalu mereka pun bertanya kepada Ali di mana gerangannya Muhammad. Jawab Ali, "Aku tidak ada muklumat mengenainya".

Mereka tersedar dari tidur dan melihat Ali yang keluar rumah- Omar Series

DARI RUMAH KE GUA

Rasulullah meninggalkan rumahnya pada malam 27 bulan Safar tahun keempat belas kebangkitan baginda bersamaan 12 atau 13 September tahun 622 Masihi. Baginda tiba ke rumah temannya Abu Bakr yang merupakan manusia yang paling dipercayai oleh Rasulullah, untuk persahabatan dan hartanya. Kemudian mereka berdua beredar keluar dari rumah Abu Bakr dari pintu belakang, untuk lari dari Makkah secepat mungkin dan sebelum fajar menyinsing.

Rasulullah menyakini yang Quraisy akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memburunya dan jalan yang akan terlintas dipemikiran Quraisy ialah jalan utara menuju ke Madinah maka sebab itu Rasulullah mengambil jalan yang mencanggahi jalan ke utara, iaitu jalan yang berada disebelah selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke bukit yang dikenali sebagai Jabal Thur, ianya mempakan bukit yang tinggi, jalannya sukar, pendakiannya berhalangan, berbatu-batu hingga melecet tapak kaki baginda (s.a.w). 

Diceritakan bahawa Rasulullah terhincut-hincut dengan tujuan menyembunyikan kesan tapak kakinya hingga melicit tapak kaki baginda, walau bagaimana sekali pun Abu Bakr telah mendukung Rasulullah, sesampainya mereka ke Jabal Thur itu, terasa berat oleh Abu Bakr namun beliau dapat menyampaikan baginda ke kemuncak bukit, dalam sejarah Islam dikenali sebagai gua
Thur.

*Rujukan Ar Raheeq Al-Makhtum

#27Safar1436

Hijrah Rasul - Sidang Parlimen Tergempar Quraisy

Kejahilan umat tentang sejarahnya sendiri adalah suatu malapetaka; Mr. Adnan Kahveci, Mantan Menteri kewangan Turki

‪#‎SejarahHariIni‬ ‪#‎26Safar‬

Hari ini 26 safar mengingatkan kita Tanggal 26 haribulan Safar tahun ke empat kebangkitan Rasulullah (s.a.w) bersamaan 12 September 622 Masihi, pihak Quraisy telah mengadakan sidang Parlimen (Darul Nadwah) dipagi-pagi hari yang merupakan sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy. 

Setelah hampir semua para sahabat berhijrah ke Madinah, maka tinggallah Saidina Ali dan Saidina Abu Bakar serta beberapa orang sahabat yang menunggu Rasulullah SAW yang masih belum berhijrah. Baginda masih perlu menunggu keizinan dari Allah untuk berhijrah.


PERBINCANGAN KRITIKAL Dl DARUL NADWAH PARLIMEN QURAISY

Di pihak kafir Quraisy, penghijrahan umat Islam dan Rasulullah SAW merupakan satu malapetaka bagi mereka. Pelbagai kegelisahan dan ramalan-ramalan yang bakal mereka hadapi di masa-masa akan datang, bahaya besar sedang menunggu mereka. Madinah berkedudukan antara Makkah dan Syam. Ini akan memberi impak secara langsung kepada perdagangan kaum Quraisy di Makkah yang kelak akan mengugut dan menggugat kestabilan ekonomi, kekayaan dan entiti ideologi berhala mereka. Ini kerana jumlah dagangan penduduk Makkah ke negeri Syam ialah sebanyak 4 juta dinar (RM3.3 bilion) setahun. Mereka juga bimbang Rasulullah SAW akan membina kekuatan di Madinah dan membentuk satu kuasa politik baru yang lebih kuat dan berpengaruh mengatasi kekuasaan Quraisy.

Sebagaimana juga mereka mengetahul posisi al-Madinah yang strategik itu sendiri, bila ianya berkonfrontasi terutamanya dengan qabilah perniagaan mereka yang merupakan laluan tetap dari Yaman ke negeri al-Syam yang semestinya melalui persisiran laut Merah. Mereka juga mengetahui selama ini, itulah laluan yang menikmati kesejateraan dan keamanan. Pihak Quraisy sudah menelah bahaya yang bakal mengancam mereka dan perniagaan sekiranya kekuatan Islam berpusat di Madinah.

Pihak Quraisy sudah pun peka akan bahaya dan ancaman yang bakal mengugat diri mereka. Oleh yang demikian, maka mereka bersungguh-sungguh mencari sebaik-baik jalan untuk menolak mara bahaya dan ancaman ini, keaemuanya berpunca dari pendokong obor dakwah Islam iaitu Muhammad (s.a.w).

Justeru itu, Tanggal 26 Haribulan Safar tahun keempat kebangkitan Rasulullah bersamaan 12 haribulan September tahun 622 Masihi pihak Quraisy telah mengadakan sidang Parlimen (Darul Nadwah) di pagi hari iaitu hampir dua bulan setengah setelah berlalunya Baiah al-'Aqabah al-Kubra yang merupakan satu sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy, seluruh perwakilan kabilah-kabilah Quraisy telah menghantar anggota-anggotanya, membuat perbincangan dan merencana satu pelan tindakan yang tegas untuk menghapus secepat mungkin pembawa obor-obor dakwah Islamiah dan dengan itu terputus sudahlah arus cahayanya buat selama-lamanya.

Suasana sidang parlimen di Dar An-Nadwah dalam filem Omar Series

Tokoh-tokoh perwakilan yang menonjol di dalam perjumpaan itu ialah:

1. Abu Jahal bin Hisyam mewakili qabilah bani Makhzum (Speaker Dewan)
2. Jubair bin Mutaam, Tai'mah bin Adi, dan al-Harith bin Amir mewakili Bani Naufal Ibn Abdul Manaf.
3. Syaibah dan Utbah kedua-dua anak Rabiah dan Abu Sufian bin Harb, mewakili bani Abdul Syams bin Abdul Manaf.
4. al-Nadhr bin al-Harith (orang yang mencampakkan pundi-pundi najis sembelihan ke atas Rasulullah di Kaabah semasa baginda bersembahyang) mewakili Banu Abd al-Dar?
5. Abu al-Bukhturi bin Hisyam, Zama'h bin al-Aswad dan Hakim bin Hizam mewakili banu Asad bin Abd al-Uzza.
6. Nabyah dan Manbah kedua-duanya anak lelaki al-Hajjaj mewakili bani Sahm.
7. Umaiyah bin Khalaf mewakili Bani Jumah.


SIDANG DARUL AL-NADWAH DAN PERSETUJUAN DENGAN KEPUTUSAN DURJANA UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH (S.A.W)

Setelah bilangan keanggotaan majlis mesyuarat Dar al-Nadwah sempurna dengan kehadiran mereka, maka perbahasan pun bermula, disusuli dengan saranan dan cadangan. Di antaranya ialah pendapat Abu al-Aswad: "Kita keluarkannya dari sini dan buangnya ke negeri lain. Selepas itu kita usah pedulikannya, ke mana dia hendak pergi dan jatuh. Kemudian kita 'pulihkan' semula masyarakat kita ini".

Namun pendapat itu tidak dipersetujui kerana Muhammad ini seorang yang petah bercakap, dengan kata-katanya yang halus dan manis, serta berupaya mempengaruhi dan menawan hati orang. Jika berbuat demikian, mereka tidak akan selamat, kerana mereka khuatiri Muhammad akan memasuki ke perkampungan dan pedalaman Arab yang lain dan setelah itu beliau akan memimpin untuk menentang dan melanyak mereka semua dan membuat apa sahaja yang dikehendakinya.

Kata ahli parlimen yang lain, Abu al-Bukhturi, "Kita penjarakannya dalam kurungan besi, tutup pintunya sebaik-baiknya, dan kamu kawalkannya serta tengok apa akan terjadi, sebagaimana berlaku ke atas penyair-penyair yang sebelumnya seperti Zuhair dan al-Nabighah yang menemui kematian seperti ini, biarlah dia merasa sepertimana mereka itu rasaiya.

Usul kedua itu juga di tolak. Kata Abu Jahal selaku speaker, Demi Allah, ini bukan pendapat yang baik, demi Allah kalau kamu kurungkannya sedemikian rupa pun akhirnya ceritanya itu akan bocor keluar dan sampai ke pengetahuan pengikut-pengikutnya kemudian mereka itu pun akan menyerang kamu, kemudian membebaskannya dari tangan kamu, setelah itu akan bertambah pengikutnya, seterusnya menghalangkan kamu semua, pendapat ini tidak boleh dipakai, cuba cadangkan pendapat lain.

Selepas persidangan Dar al-Nadwah menolak dua cadangan yang dikemukakan itu, dikemukakan pula cadangan yang paling nekad dan terkutuk, ianya mendapat persetujuan seluruh anggota sidang, dikemukakan oleh kepala samseng dan jenayah Makkah Abu Jahal bin Hisyam yang merupakan speaker dewan ketika itu. Kata Abu Jahal, "Demi Allah, sesungguhnya aku ada satu pendapat yang kamu tidak nampak". Kata mereka, "Apakah pendapat itu wahai Abu al-Hakam?" Jawab Abu Jahal, "Aku melihat di mana setiap kabilah haruslah dipilih seorang pemuda tangkas dan lincah kemudian kita serahkan kepada setiap mereka sebilah pedang yang tajam, untuk mereka gunakannya, dengan cara mereka menetak Muhammad serentak maka tamatlah riwayat Muhammad dan kita pun boleh berehat, kerana bila mereka lakukan cara ini bererti semua kabilah bertanggungjawab dan banu Abdul Manaf tidak terdaya untuk memerangi kesemua qabilah ini, sebagai gantiannya mereka akan berpuas hati dengan pembayaran diah (pampasan).

Sidang Dar al-Nadwah pun sebulat suara menerima cadangan yang terkutuk itu, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dengan penuh keazaman, di mana cadangan dan keputusan itu akan dilaksanakan dengan serta-merta.

Sebaik sahaja keputusan durjana diambil untuk membunuh Rasulullah, Jibril pun turun menemui Rasulullah, dengan wahyu dari TuhanNya Tabaraka Wataala, Jibril memberitahu pakatan jahat Quraisy, kini Allah telah mengizinkan baginda untuk keluar berhijrah.

PENGEMPUNGAN RUMAH RASULULLAH S.A.W

Pimpinan dan kepala jenayah Quraisy menghabiskan siang mereka untuk menyempurnakan perancangan dan persiapan seperti yang diputuskan oleh sidang Dar al-Nadwah, sebelas orang kenamaan wakil kabilah masing-masing ialah seperti:

1. Abu Jahal bin Hisyam
2. Al-Hakam bin Abi al-As
3. Ugbah bin Abi Muit
4. al-Nadhr bin al-Harith
5. Umaiyah bin Khalaf
6. Zamaah bin al-Aswad
7. Tu'imah bin 'Adi
8. Abu Lahab
9. Ubai bin Khalaf
10. Nabyah bin al-Hajjaj
11. dan saudaranya Manbah bin al-Hajjaj

Dalam sidang Parlimen inilah yang akhirnya membawa keputusan durjana untuk membunuh junjungan besar Rasulullah (S.A.W). Maka bermulalah siri hijrah Rasulullah (S.A.W) selepas peristiwa ini. Begitulah betapa mahalnya harga sebuah hijrah yang di lalui oleh Rasulullah SAW. Itu baru sahaja permulaan hijrah yang dilalui oleh Rasulullah. Suatu pakatan besar sehinggakan dibincangkan di Parlimen untuk menyekat kemaraan dan perkembangan Islam di atas muka bumi ini.

Siri Hijrah Rasulullah menurut ulama' besar dan pengkaji sirah bermula pada akhir bulan Safar hinggalah Rasulullah sampai di Yatrib (Madinah) pada 12 Rabiulawwal.

Kita sudah pon berada di penghujung tahun 2014 dan bakal memasuki tahun yang baru 2015, yang mana kita berada di akhir bulan Safar dan bakal memasuki awal Rabiulawwal. Berbetulan dengan tarikh ini yang merupakan bulan hirah Rasulullah, marilah kita mengambil ibrah dari siri perjuangan nabi ini untuk terus meletakkan diri kita ke arah yang lebih baik bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T.

Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung.

 Wallahu'alam..

bersambung....


Saturday 13 December 2014

Keajaiban Haiwan 1; Serangga Berbunyi Nyaring Waktu Solat

  بسم الله الرحمن الرحيم

Pemerhatian Alam !

Mengapa penting kepada manusia ?


Alam yang indah, penuh  dengan flora dan fauna ini memiliki pelbagai rahsia. Haiwan adalah makhluk Allah yang hidup penuh harmoni antara mereka. Cara hidup haiwan membantu mengstabilkan dan melestarikan ekosistem alam.

Daripada sumber alam inilah tumpuan perlu diberikan bagi membina ilmu dan kewibaan. Ilmu yang terhasil daripada penelitian yang terbit dari sumber alam dapat membentuk wibawa umat yang berilmu, saintifik, kreatif dan inovatif. 'Alam terkembang jadikan guru' memberikan saranan supaya manusia meneliti serta mencerap alam, dan daripada cerapan itu manusia mampu memperoleh dan menjana ilmu yang berfaedah.

Allah SWT menyebut kelebihan berjalan-jalan, merenung, dan melihat penciptaan langit, bumi serta makhluk penciptaanNya seperti firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 190 - 191 yang bermaksud;

"Sesugguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), 'Wahai Tuhan kami ! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka."

Itulah golongan Ulul Albab. Ayat ini menggambarkan orang yang berakal ialah mereka yang memikirkan penciptaan langit dan bumi serta malam dan siang, dengan menggunakan mata hati dalam apa jua keadaan. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Jasiyah ayat 3 - 5 yang bermaksud ;

"Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda kekuasaanNya bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu, serta segala haiwan yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda kekuasaanNya bagi orang yang meyakininya. Dan pertukaran malam dan siang silih berganti, dan rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT dari langit, lalu ia hidupkannya dengan tumbuhan-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta peredaran angin, semuanya mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran".

Dalam ayat tersebut Allah SWT menyatakan segala apa yang dijadikanNya termasuk haiwan yang hidup bersama-sama dengan manusia di muka bumi ini mempunyai tanda-tanda kekuasaan dan kehebatan penciptaanNya yang perlu di fikirkan dan dikaji oleh manusia yang benar-benar befikir. Apabila manusia memikirkan semua ini, keimanan manusia kepada keesaan Allah akan bertambah. Selain itu, keyakinan bahawa Allah sebagai pencipta menjadi semakin mantap. Semakin manusia berfikir dan meneliti penciptaan Alam Semesta, semakin banyak manfaat yang diperoleh.


"Berfikir perihal kekuasaan Allah SWT adalah cahaya yang masuk ke dalam hati", Sufyan bin Uyainah.



Kelebihan Akal Manusia

Manusia diberi suatu kelebihan yang cukup luarbiasa iaitu akal. Akal membolehkan manusia berfikir untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupan. Sungguhpun manusia ini lemah dalam banyak hal namun didorong oleh sifat ingin tahu melalui berfikir, manusia dapat melakukan kajian seterusnya dapat melakukan suatu yang luarbiasa.

Contohnya dengan mengkaji penglihatan burung helang, manusia dapat mencipta alat-alat yang dapat mengatasi keupayaan burung itu. Lantas pandangan manusia mampu menerjah ke nebula-nebula yang memerlukan kekuatan penglihatan sekitar 2 juta kali ganda darikekuatan mata manusia sendiri. Begitu juga dengan penciptaan mikroskop elektronik yang dapat melihat jauh kedalam bakteria yang tidak mungkin boleh dilihat dengan mata kasar. Begitu juga dengan penciptaan lain yang membantu dalam pendengaran dan kudrat manusia.

Haiwan Sebagai Sumber Ilham

Berdasarkan hikmah ayat dalam Surah Al Jasiyah itu tadi, haiwan juga di utus oleh Allah SWT sebagai 'alat bantu' bagi menunjukkan jalan dan petunjuk kepada manusia. Perkara ini sudah pon berlaku sejak manusia mula-mula wujud di muka bumi ini lagi, iaitu pada zaman Nabi Adam As. Tatkala itu berlaku suatu konflik yang pertama dalam sejarah manusia.

Peristiwa ini tercatat dalam Surah Al Maidah ayat 30 - 31;

"Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu, jadilah dia daripada orang yang rugi. Kemudian Allah SWT hantarkan seekor burung gagak mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihat kepada Qabil cara menimbus mayat saudaranya. Qabil berkata, 'Wahai celakanya aku ! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbus mayat saudaraku ?' Kerana itu jadilah dia daripada golongan orang yang menyesal."

Begitulah maha suci Allah yang mencipta dan kemudian tidak pula meninggalkan manusia terkapai-kapai tanpa diberi petunjuk. Betapa Allah SWT maha Pengasih dan maha Penyayang kepada makhluk bernama manusia dengan sentiasa memberikan tunjuk ajar.

Seperti yang dinyatakan juga dalam Surah Hud (rujuk ayat 37 - 40) dimana Allah SWT memberikan panduan kepada Nabi Nuh dalam menghadapi 'bala bencana' banjir dengan membina bahtera yang cukup hebat yang dapat menampung segala jenis pasangan haiwan. Persoalannya apakah jenis teknologi yang perlu di cipta dan disediakan pada bahtera tersebut yang mampu memastikan hayat dan nyawa haiwan yang berbeza-beza cara hidup itu dapat bertahan dalam bahtera yang sarat dengan muatan, dalam jangka masa yang begitu lama ? Bukankah ini menakjubkan ?

Pernahkah juga kita fikirkan mengapa Allah SWT memerintahkan supaya memuatkan haiwan yang berpasang-pasang itu kedalam bahteranya ?

Keajaiban Haiwan

  1. Serangga Berbunyi Nyaring Setiap Kali Masuk Waktu Solat

    Sejenis serangga yang terdapat di Malaysia yang di kenali sebagai Riang-Riang menunjukkan kelakuan ganjil setiap kali masuk waktu solat fardhu. Riang-riang atau nama saintifiknya Cicadidae berbunyi nyaring apabila tiba waktu solat seolah-olah mengajak manusia bersujud kepada Ilahi. Suaranya berlagu mendayu-dayu setiap kali masuk waktu solat menurut seorangpengkaji daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal ini dilaporkan  oleh Timbalan Pengarah Muzium Alam Semula Jadi, Farizawati Sabri ketika mengadakan pameran serangga di Muzium Negara Kuala Lumpur 6 -19 Jun 2009.

    "Seminggu sebelum pameran berlangsung, saya masuk ke hutan Cameron Highlands dan dikejutkan oleh bunyi nyaring serangga yang di panggil Riang-Riang. Pemandu arah kami menyatakan ia menandakan waktu solat fardhu telah tiba dan ia berlaku setiap tiba waktunya. Itulah tanda keunikan Riang-Riang," jelas Timbalan Pengarah Muzium berkenaan (Harian Metro, 14 Jun 2009).

    Pada hakikatnya, serangga ini menjalani kehidupan biasa yang telah ditetapkan kepada mereka oleh Pencipta Yang Maha Agung. Tetapi kehidupan mereka seharusnya dijadikan bahan renungan kepada mereka yang ingin berfikir secara mendalam hakikat kewujudan alam ini. Serangga atau haiwan ini bertasbih kepada Pencipta dengan cara tersendiri. Bahkan alam semesta keseluruhannya bertasbih kepada Penciptanya.

    "Bertasbih kepadaNya langit yang ketujuh dan bumi dan semua yang terdapat padanya. Tiada satupun kecuali ia bertasbih dengan pujianNya, tetapi kamu tidak memahami akan tasbih mereka...." (Al Isra' 17:44)
  

2. Semut & Burung Bercakap

Bersambung......!


Rujukan:
*Ulul Albab: Ajaibnya Alam Semesta
*Keajaiban Haiwan Yang Mengubah Dunia