Tuesday 9 August 2016

Hikmah Yang Tersembunyi


Ujian itu normal kehidupan



Kehilangan sesuatu bukanlah bermakna berakhirnya segala-gala. Namun kita sempitkan dunia kita dengan keimanan kita yang lemah.
Tidak cemerlang peperiksaan, bukan bermakna kita tidak akan mampu memberi makan pada keluarga di hari tua. 
Kematian seseorang yang disayangi bukan bermakna kiamat telah tiba buat dunia. 

Putus tunang, bukan bermakna kita tidak punya peluang untuk berkeluarga.

Ujian Allah beri sedikit sahaja sebenarnya. Dan kita tidak tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita sebenarnya. Tetapi sepatutnya kita amat arif bahawa... 

Allah itu hanya mahu yang baik-baik sahaja kepada hambaNya.

Namun oleh kerana dunia itu kita letak besar dalam hati kita, maka bila kehilangan sesuatu, kita pun hilangkan segala-galanya.
Sedangkan, selain perkara yang kita hilangi itu, rahmat Allah tetap wujud dengan wujudnya perkara lain di dalam yang boleh kita kecapi dalam kehidupan kita. Kita hanya resah melihat dan memikirkan apa yang kita tidak ada, tetapi kita lupa bersyukur kepada apa yang kita telah ada.
Di situlah kita akan rasa luasnya Allah ciptakan dunia ini. Luasnya kasih sayang Allah SWT. Luasnya peluang dan ruang yang Allah SWT sediakan sebenarnya. Dan di situlah kita akan rasa, mengapa Allah memberikan kita kehilangan tersebut. Semata-mata untuk menjadikan kita hambaNya yang lebih tabah, lebih sabar, lebih kuat. Dan itu adalah apa yang kita mampu ekstrak. Ada lagi mungkin hikmah-hikmah yang kita tak mampu ekstrak.

Sebagai contoh, apabila Khidir membunuh seorang anak, dan Musa bertanya mengapa dibunuh anak itu, lihatlah apa jawapan Khidir:

“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.” Surah Al-Kahfi ayat 80.
Anak itu dihilangkan daripada kedua ibu bapanya, adalah kerana anak itu akan membawa ibu bapanya ke neraka.

Nah, tidakkah itu hikmah dan kasih sayang Allah SWT yang inginkan ibu bapa itu masuk ke syurgaNya?

Ini memang tak akan mampu kita jangkau dengan akal fikiran kita.
Dunia ini Allah ciptakan luas.

Jangan sempitkan. Bersangka baiklah dengan Allah SWT. Ada jalan penyelesaiannya dan hikmahnya yang 'tersembunyi'.


Saiz Nabi Adam a.s


Adam A.S. dan isterinya Hawa menikmati kehidupan syurga yang serba indah. Makanlah buah-buahan syurga semahu-mahunya kecuali suatu pohon yang dilarang mendekatinya. Larangan ini sebagai ujian terhadap Adam A.S. dan isterinya. Namun syaitan memang musuh manusia yang nyata. Dendam kesumatnya terhadap Adam A.S. masih membara. Tipu helah syaitan sangat halus. Syaitan menyatakan pohon larangan itu ialah Pohon al-Khuld yang andai dimakan buahnya, pemakannya akan kekal abadi dan tidak akan mati. Adam A.S. termakan tipu daya syaitan tersebut lalu memakan buah larangan bersama isterinya. Maka derhakalah kedua-duanya kepada Tuhan-nya. Akibatnya, Adam A.S., Hawa dan syaitan diperintah turun ke bumi. Adam A.S. dan Hawa memohon taubat daripada Tuhan-nya akibat dosanya itu lalu diampun kedua-duanya. 



Maka bermulalah kehidupan Adam A.S. dan Hawa di atas planet bumi....

 Hikmah Ilahi yang menganugerahkan saiz yang besar kepada manusia yang awal, sesuai dengan persekitaran yang sukar sebagai peneroka planet bumi 

Saiz ketinggian Adam A.S. ketika jatuh ke bumi menurun menjadi 60 hasta tingginya. Kekacakan wajah Adam A.S. tidak dapat ditandingi atau menyamai sesiapa kecuali Yusuf A.S., mengikut satu riwayat.

Perbandingan skala ukuran saiz fizikal  Nabi Adam A.S. ketika memulakan kehidupan di atas muka bumi, mengikut eksperisi seorang pelukis yang membandingkan manusia hari ini dengan ayahanda mereka yang pertama. 

Gambar sebelah kanan pula menunjukkan satu model saiz jubah yang dipadankan dengan keterangan hadith tentang ketinggian baginda. Baju tersebut dibuat pameran di sebuah negara Arab beberapa ketika yang lalu yang terpaksa ditegakkan dengan meggunakan kren yang besar saiznya. Bukan sahaja saiz yang besar dan tinggi, malah umur baginda pun lanjut mencecah seribu tahun mengikut satu riwayat. Hawa pula meninggal setahun kemudian. Ketika wafat, zuriat kedua-duanya sudah mencapai bilangan 4000 orang di sekitar Bauz. Demikian dicatatkan oleh al-Tabari

Manusia semakin susut saiznya generasi demi generasi. Hikmah Ilahi yang menganugerahkan saiz yang besar kepada manusia yang awal, sesuai dengan persekitaran yang sukar sebagai peneroka planet bumi yang kemudiannya diwarisiskan kepada seluruh zuriatnya sepanjang sejarah kemunculan manusia di atas muka bumi. Maka hakikatnya, seluruh manusia bersaudara yakni daripada pasangan ayah dan ibu yang sama. Teknologi moden hari ini membuktikan hakikat ini menerusi kajian DNA kromosom-Y yang menunjukkan seluruh keturunan manusia menumpu kepada induk yang sama.


Wallahu'alam.. !