Tuesday 9 August 2016

Hikmah Yang Tersembunyi


Ujian itu normal kehidupan



Kehilangan sesuatu bukanlah bermakna berakhirnya segala-gala. Namun kita sempitkan dunia kita dengan keimanan kita yang lemah.
Tidak cemerlang peperiksaan, bukan bermakna kita tidak akan mampu memberi makan pada keluarga di hari tua. 
Kematian seseorang yang disayangi bukan bermakna kiamat telah tiba buat dunia. 

Putus tunang, bukan bermakna kita tidak punya peluang untuk berkeluarga.

Ujian Allah beri sedikit sahaja sebenarnya. Dan kita tidak tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita sebenarnya. Tetapi sepatutnya kita amat arif bahawa... 

Allah itu hanya mahu yang baik-baik sahaja kepada hambaNya.

Namun oleh kerana dunia itu kita letak besar dalam hati kita, maka bila kehilangan sesuatu, kita pun hilangkan segala-galanya.
Sedangkan, selain perkara yang kita hilangi itu, rahmat Allah tetap wujud dengan wujudnya perkara lain di dalam yang boleh kita kecapi dalam kehidupan kita. Kita hanya resah melihat dan memikirkan apa yang kita tidak ada, tetapi kita lupa bersyukur kepada apa yang kita telah ada.
Di situlah kita akan rasa luasnya Allah ciptakan dunia ini. Luasnya kasih sayang Allah SWT. Luasnya peluang dan ruang yang Allah SWT sediakan sebenarnya. Dan di situlah kita akan rasa, mengapa Allah memberikan kita kehilangan tersebut. Semata-mata untuk menjadikan kita hambaNya yang lebih tabah, lebih sabar, lebih kuat. Dan itu adalah apa yang kita mampu ekstrak. Ada lagi mungkin hikmah-hikmah yang kita tak mampu ekstrak.

Sebagai contoh, apabila Khidir membunuh seorang anak, dan Musa bertanya mengapa dibunuh anak itu, lihatlah apa jawapan Khidir:

“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.” Surah Al-Kahfi ayat 80.
Anak itu dihilangkan daripada kedua ibu bapanya, adalah kerana anak itu akan membawa ibu bapanya ke neraka.

Nah, tidakkah itu hikmah dan kasih sayang Allah SWT yang inginkan ibu bapa itu masuk ke syurgaNya?

Ini memang tak akan mampu kita jangkau dengan akal fikiran kita.
Dunia ini Allah ciptakan luas.

Jangan sempitkan. Bersangka baiklah dengan Allah SWT. Ada jalan penyelesaiannya dan hikmahnya yang 'tersembunyi'.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v