Saturday 27 June 2015

Musafir - Berpuasa atau berbuka ?

   بسم الله الرحمن الرحيم
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang bathil. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." (Surat al-Baqarah : ayat 185) 



Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan al-Sunnah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). 
Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim)

Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?


Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seseorang yang bermusafir boleh berbuka puasa walaupun perjalanan yang ditempuhi itu tidak memberikan apa-apa masyaqqah(keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan beban).
Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?
Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.
(i) Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.
(ii) Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhal baginya.


Wallahu'alam