Thursday 26 March 2015

Agama Tidak Pernah Mati

Percaya akan adanya Yang Maha Kuasa, yang mengatur seluruh alam  adalah suatu yang asli dalam jiwa manusia. Ianya bermula sejak orang yang masih biadap hidup di hutan, sampai kepada ahli falsafah di dalam bilik kerjanya. Percaya pada Tuhan adalah pokok permulaan. Walaupon kemudian akal sudah terlalu pintar dan logik mengatasi wahyu mula menyeleweng.

Lantaran itu tidak hairanlah jika ada sarjana yang otaknya mengingkari Tuhan, tetapi hatinya masih tetap beriman. 

Ianya fitrah. 

Dan fitrah itu tidak dapat dihapuskan sama sekali. Ianya perlu dibimbing dengan penuh hikmah.


Anggapan tentang adanya Tuhan boleh berubah-ubah kerana perubahan kecerdasan dan penyelidikan, kerana luasnya ilmu, atau juga kerana sempitnya ilmu. Namun kesimpulan semuanya hanya satu, "Tuhan ada".

Kita lihat kepada sejarah.


Revolusi Perancis

Sewaktu terjadinya revolusi Perancis, orang-orang memberontak melawan gereja yang dipelopori oleh Voltaire. Sebab-sebab tercetusnya pemberontakan ini pada dasarnya bukanlah erana tiada mempercayai Tuhan. Tapi kerana golongan-golongan agama atau pendeta  yang menggunakan agama dalam acuan penyelewengan untuk mengekang akal, membelenggu fikiran dan menggelapkan hidup sekeliling kerana sempitnya faham dan kebodohannya.

Seketika berlakunya pemberontakan, mereka masih tidak memisahkan orang  antara agama dan gereja, bahkan diantara pendeta dan Tuhan. Mereka memberontak dari institusi gereja, lalu hendak menghapuskan agama.

Akhirnya malaplah api revolusi, maka dengan beransur kembalilah orang kepada agama. Orang ramai berbalik semula kepada Tuhan dan tidak ada sesuatu keadaan pon yang dapat menghilangkan Tuhan dari hati manusia. Setelah bangsa Perancis menjadi penentang Tuhan yang sangat radikal, namun tidak lama kemudian mereka menerima Katolik sebagai suatu kenyataan.


Revolusi Attaturk

Di Turki juga seakan-akan muncul gerakan hendak menghapuskan agama melalui revolusi Kamal Pasya (Atarturk). 

Malahan kalimah "azan" di turkikan. 

Agama dibentuk menjadi kebangsaan.

Segala simbol yang melambangkan agama hendak dihancurkan, sehinggan serban di kepala pun hendak dihabiskan.

Akhirnya Turki diakui kemajuannya dalam bentuk lain, dan agama tetap ada di dalam dada umat Turki. 

Cumanya Kamal Attaturk yang mati. 

Agama tidak MATI !


Revolusi Rusia

Kita lihat pula revolusi Rusia. Ianya adalah tentangan yang hebat terhadap agama. Malah Karl Marx pernah mengatakan, "Agama candu yang meracun jiwa rakyat".

Tuhan dijadikan ejekan, dikatakannya semua itu sebagai khayal kaum kapitalis sahaja.

Segala kepercayaan tentang kebebasan memeluk keyakinan, kepercayaan tentang hari kemudian di basminya.

Gereja dijadikan kandang kuda, masjid dijadikan gudang gandum.

Akhirnya, Stalin dahulu yang mati. Adapun agama masih hidup di Rusia hingga kini. Walaupun hingga sekarang diusahakan dengan pelbagai macam  propaganda supaya orang membelakangi agama. Dituduhnya orang yang masih beragama sebagai 'reaksioner'. Namun yang atheis tidaklah bertambah jumlahnya.

Orang yang kembali ke gereja bertambah, walaupon betapa ketika itu dibanterasnya.

Kekuasaan pendeta atau paderi atau 'mufti' sebagai Rasputin mungkin boleh dihapuskan, tetapi kekuasaan agama, kekuasaan kepercayaan tentang adanya Tuhan, masih tetap subur dalam jiwa orang Rusia.

Demikianlah hebatnya propaganda dilakukan, dengan pelbagai cara , namun agama masih ada dan masih terus berjalan di Rusia yang mencuba menghapuskan agama dari hati orang.


Syu'ur

Seseorang itu mungkin dapat dipisahkan daripada kepercayaan akan adanya Tuhan jika ia dibunuh. Tetapi akan dihabiskankah segala isi dunia ini ?

Kerana, asal bermula dari kepercayaan kepada Tuhan adalah perasaan (syu'ur) manusia itu sendiri. Perasaan adalah sebahagian dari kejadian manusia. Bahkan banyak peninjauan akal dimulai terlebih dahulu dari perasaan.

Apa ertinya persahabatan ? 
Apa ertinya kasih dan cinta ?
Apa ertinya sayang ibu mengasihi anaknya ?
Apa ertinya tolong-menolong ?
Apa ertinya kemahuan ?


Semuanya tidak ada etinya kalau tidak ada perasaan.


Kalau perasaan tidak ada, hidup menjadi kering dan kersang ibarat hidup seperti "robot" yang berjalan. Hidupnya kering dan kontang dari nilai kehidupan insani.

Ianya boleh dikatakan,"Tidak ada perasaan, tidak ada hidup."

Maka perasaan akan adanya Tuhan adalah sebahagian daripada hidup itu sendiri, yang tidak dapat dihapuskan. Seperti Kasih ibubapa kepada anaknya, cinta suami pada isterinya didalam sebuah rumahtangga yang berbahagia.

Perasaan adalah pelopor, dan akallah kelak yang menuruti. Dan setelah akal bekerja keras menuntut ilmu, akhirnya kembali pula perasaan tadi yang memegang peranannya.

Mereka yang ingin menghapuskan agama itu adalah mereka yang ditutup laluan fitrahnya oleh Yang Mencipta fitrah. Akalnya berfungsi di pandu perasaan luar tabii'.

Wallau'alam.






No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v