Satu hari, Dr Ala’ Hilat berkongsi akan satu kisah menarik.
Kisah itu kisah biasa. Aku pun awal-awal mendengar maudu’nya, rasa
kurang berminat. Kisah seorang lelaki soleh yang biasanya orang panggil
dengan panggilan Khidir, dengan Nabi Allah Musa. Ya, mungkin ramai akan
menarik muka terlebih dahulu. “Ala, dah tahu.” Sebab aku juga begitu.
Tetapi Dr Ala’ Hilat berkata:
“Al-Quran bukan buku sejarah. Al-Quran bukan buku fizik mahupun kimia.
Al-Quran adalah Kitab Hidayah. Petunjuk buat yang memerhati dan
membuka hati. Maka kisah Khidir dan Musa bukanlah kisah
tarikhi(sejarah), tetapi adalah petunjuk, penenang hati daripada Allah
SWT.”
Ketika itu aku diam dan mula memandang wajah guru kesayanganku itu.
Menanti apakah yang menarik yang akan disampaikan olehnya. Sebab Dr
Ala’ memang terkenal dengan manusia yang mampu menggugah jiwa manusia
yang lain.
Sepintas kisah Khidir, menandakan bukan itu perhatian utamanya
Dr
Ala’ tidak panjang menceritakan kisah Khidir dan Musa. Dia sekadar
mengeluarkan point penting. Katanya ada enam point penting, tetapi
dikeluarkan tiga point terlebih dahulu. Dr Ala’ kata, tiga point yang
hendak dikeluarkan ini adalah perjalanan Khidir dan Musa.
- Khidir membocorkan perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas sungai.
“Lalu berjalanlah keduanya(Khidir dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia(Khidir) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat 71.
2. Khidir membunuh seorang anak kecil.
“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.
3. Khidir menegakkan sebuah dinding yang hampir roboh.
“kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidir) menegakkan dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.
Dan Dr Ala’ memberitahu betapa Musa AS, dalam setiap perlakuan itu,
menimbulkan pertanyaan. Sedangkan, perjanjian yang dipersetujui mereka
di awal perjalanan adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa.
Kemudian Dr Ala’ menceritakan juga hikmah-hikmah mengapa Khidir
melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran pada ayat
79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan
perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang
baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan
kedua ibu bapanya. Dibina semula dinding, kerana di situ terdapat harta
untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk
melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa, mereka akan
mendapatkannya.
Laju sahaja Dr Ala’ menceritakan semua itu.
Seakan-akan, bukan itu maudu’ utamanya.
Dan sampai setakat ini, aku masih tidak nampak, apa yang menariknya?
Tiga point yang ditinggal
Pada titik inilah, Dr Ala’ bertanya kepada kelas:
“Apakah tujuan utama Allah SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”
Seorang pelajar menjawab – “Kebijaksanaan Khidir?”
Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi bagus kamu utarakan jawapan itu.”
Seorang pelajar menjawab – “Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”
Dr Ala’ menggeleng. “Musa telah mati.”
Kelas diam. Aku diam juga. Sebab aku tidak pasti hendak menjawab apa.
“Apakah benar Khidir itu bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak
mempunyai ilmu langsung?” Dr Ala’ menimbulkan persoalan. Memecahkan
kesunyian. Aku terkejut, begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak
kata Khidir bukan bijaksana? Tak berilmu?
Aku lihat senyuman Dr Ala’ ketika itu, dan aku yakin dia yakin kata-katanya benar.
“Tahukah apa yang pertama sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidir ini?”
Kami diam tidak menjawab. Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat.
Ayat pertama ketika Allah memperkenalkan Khidir kepada pembaca
Al-Quran.
“Lalu mereka bertemu
dengan seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan
kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu
dari sisi Kami.” Surah Al-Kahfi ayat 65.
“Khidir sebenarnya, bukan bijaksana. Sebab ilmu Khidir bukanlah ilmu
yang dicarinya sendiri. Bukan berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan
pemikiran. Khidir tidak berfikir. Dia hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa
yang telah ‘ditetap’kan. Sebab ilmu Khidir hakikatnya adalah ilmu
Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami telah
mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami. Ilmu itu adalah yang kita
kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT.
Atau pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek
manusia.”
Ketika ini mata aku terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.
“Maka, segala keputusan Khidir di dalam peristiwa ini, bukanlah
keputusan dia. Bukan terhasil dari pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu
bukan keputusan seorang Khidir pun. Tetapi hakikatnya adalah keputusan
Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidir di akhir perjalanannya dengan
Musa.”
Dan Dr Ala’ membaca: “dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah Al-Kahfi ayat 82.
“Apa yang Khidir lakukan itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidir
hanyalah ibarat robot yang diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu
dan ini. Sebab itu, apakah kamu pernah mendengar riwayat sohih akan
kewujudan manusia seperti Khidir ini di zaman-zaman lain? Dia hanya
wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak diketahui wujud baik
sebelum itu mahupun selepas itu.”
Sekali
lagi aku macam tersentak. Itu point kedua dari tiga. Dada berdegup
kencang. Rasa teruja. Rasa macam Allah SWT telah membukakan satu lagi
ilmu yang luas untuk diri ini.
“Dan dengan
kisah Khidir, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan
keputusan-keputusanNya. Sebab itu, isu perjalanan Khidir dengan Musa,
hakikatnya adalah isu BERSABAR DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah
kamu melihat, apakah perjanjian utama mereka di dalam perjalanan ini?”
"Musa
berkata kepada lelaki itu(Khidir): Bolehkah aku mengikutimu supaya
kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang
telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali
tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas
sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal
itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang
yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun.
Dia(Khidir) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu
menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri
menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.
Dan lengkaplah tiga point yang ditinggalkan di awal cerita tadi.
Keputusan Allah, dan bersangka baik kepadaNya.
Dr Ala’ memberitahu bahawa, kisah Khidir dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat keputusan.
“Apa-apa musibah yang melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu
point yang paling penting yang diberikan Dr Ala’ kepada kami.
Kisah Khidir adalah buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu,
hakikatnya mempunyai sebab. Tuan punya perahu, perahunya tidak lagi
dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh dibaiki dan dia masih boleh
berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang kehilangan anak, keimanan
mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke neraka Allah nanti.
Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sampai mereka
dewasa nanti.
Ada perkara itu, Allah
berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah
berikan terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi
kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.
“Pokoknya, kita perlu bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan
Allah SWT. Tidakkah kita belajar bahawa, manusia yang tidak mampu
bersabar, adalah manusia yang rugi?”
Kami tersentak sekali lagi. Eh? Kita belajar daripada mana?
“Lihatlah Musa, bagaimana dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa
berhenti dari mengikuti Khidir, sedangkan kalau dia bersabar, mungkin
lebih banyak lagi hikmah yang akan dibukakan kepadanya.” Dr Ala’
tersenyum. Kami akhirnya memahami.
“Orang-orang yang bersabar, dan sentiasa bersangka baik dengan Allah
SWT, mereka takkan terganggu dengan musibah-musibah yang melanda
mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya mahukan yang baik-baik
sahaja.”
Penutup: “Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu.”
Dr Ala’ kemudian berkata:
“Ilmu Allah itu, memang takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita
letakkan sepenuhnya kepercayaan kita, kepada Allah SWT Yang Maha
Mengetahui Segala-galanya itu?”
Itulah
pointnya dinyatakan jenis ilmu Khidir. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu
manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.
“Musa telah tiada. Tetapi kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab
pengajaran di dalam kisah itu, hakikatnya untuk kita. Maka
perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu. Kalau
kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai kepada
apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”
Aku rasa puas.
Indah sungguh Al-Quran. Indah sungguh ilmu Allah SWT. Cantik sungguh
cara penceritaan di dalam Al-Quran. Dan besar sungguh pengajaran yang
Allah mahu berikan.
Hanya dari satu cerita, yang orang selalunya menyangka biasa-biasa.
Semoga bermakna kepada kita semua.
Ps:
Dr Ala' Hilat adalah pensyarah di Kuliah Syariah University of
Yarmouk, Jordan. Merupakan seorang yang khusus(pakar) di dalam bidang
Muqorantul Adyan(perbandingan agama). Juga antara sebilangan kecil
orang-orang arab yang mengambil pengkhususan mendalami agama Yahudi
sehingga ke akar umbinya. Dr Ala' Hilat juga pakar dalam bidang Ilmu
An-Nafs. Umurnya baru awal 30-an. Hampir seluruh jenis mata pelajaran
Aqidah(Aqidah, Muqoranatul Adyan, Firaq fi tarikhil islam).
-Dari sahabatku-
artikel yang menarik. teruskan saudara.
ReplyDeleteTerima kasih
Deleteapa Hakikatnya sebelumm nabi musa bertemu dengan khidir.. nabi musa terlalu megah dengan ilmu nyaa (sangkut dengan ilmu). sehingalah allah menwahyukannya untuk bertemu si khidir (hijau) .. maka disitu baru lah terleburnyaa ilmu musa yang dianggap hebat ketika itu rupa2 nya masih ad manusia lain lg hebat darinya.
ReplyDeletecantik pembukaanyaa sir.
Dalam 1 kisah kecil banyak ibrahnya. TErima Kasih
Deletewah..bila dilihat sr perspektif yg lain,lg mendalam maksudnya..Sabar tu yg penting..tp bnda tu laa yg slalu tersasar..x sabar nak dapatkan brg kesukaan,walhal barang tu yg melalaikn dr mengingati Allah..x sabar nk kawen pling xleh blah,walhal diri ni masih byk kelemahan..haha..Terima kasih atas perkongsian..
ReplyDeletesama-sama. smoga bermanfaat.
ReplyDelete