Tuesday, 18 November 2014

Peta Dunia Pertama Dilukis Pelayar Muslim


بسم الله الرحمن الرحيم

..وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Menarik!
Perkataan FALAK yang terbit dari kalimat “kullun fi falakin yasbahun” (masing-masing beredar pada garis orbitnya) dalam surah Yassin. Itulah falsafah Balai Cerap Al Khawarizmi melalui logonya.

Dua minggu lepas DR  Mat Rofa ajak aku teman dia ke satu program yang di buat oleh Sekolah Tahfiz di Bangi di Balai Cerap Al Khawarizmi di Melaka untuk  memahami dan mendalami Sains Al quran dan juga sejarah-sejarah Sains dan Teknologi yang pernah di asaskan oleh Ilmuan Islam suatu ketika dulu.


Bnyak perkara yang aku dapat sepanjang perjalanan bersama beliau dan juga sewaktu berada di balai cerap di sana. Tapi sayangnya malam tu hujan lebat, so tak dapatlah kami semua mencerap bulan dan alam semesta melalui mesin mencerap di balai tersebut. Tapi apa yang aku dapat inshaAllah sikit sebanyak di kongsikan dalam penulisan ini.




Dalam Kitab Suci al-Qur’an, Allah SWT memuji suatu golongan dalam kalangan orang-orang beriman yang disebut sebagai golongan ulul albab. Golongan ulul albab ini dari segi bahasanya bermaksud golongan yang mempunyai akal fikiran yang bersih. Dari segi istilahnya, ulama tafsir iaitu Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa golongan ulul albab ini merupakan golongan yang mempunyai pemikiran yang sempurna sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara dengan sebenar-benarnya, dan membawa mereka kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Bagi menunjukkan betapa pentingnya golongan ini, istilah ulul albab diulang sebanyak 24 kali melalui 10 surah dalam al-Qur’an. Antara faktor yang menyebabkan generasi ini dimuliakan oleh Allah SWT dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: 

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (ayat-ayat kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi golongan ulul albab; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka’.” (Surah Ali ‘Imran ayat 190-191).


Pencapaian Umat Islam

Muzium Sains dan Teknologi di Turki mempamerkan pelbagai pencapaian Muslim dalam bidang sains dan teknologi termasuk astronomi, geografi, matematik, kimia, fizik, perubatan, pelayaran, kartografi dan bidang yang berkaitan. Manuskrip turut dipamerkan dalam Muzium ini. Demikian pula, model rekaan saintis Muslim termasuk jam, cermin kanta, astrolab, balaicerap, perkapalan, dan seumpamanya dipamerkan untuk membuktikan betapa agungnya peninggalan warisan Muslim terhadap dunia keseluruhannya. 

Barat sering menutup keagungan pencapaian dalam sains dan teknologi Muslim kerana mereka yang menulis sejarah dunia ketika keruntuhan empayar Islam. Dalam astronomi, Barat menyatakan bahawa Copernicus yang mencipta teleskop dan Galileo yang mencipta jam bandul. Catatan ini dinafikan dengan artifak yang dipamerkan dalam muzium ini apabila jam awal yang dicipta Ibn Yunus al-Safadi sejak kurun ke-10 lagi sedangkan Galileo hidup dalam kurun ke-17. Model balai cerapan bintang di Samarkhan yang mempunyai tiga tingkat bersama dengan jadual falak dibina dalam kurun ke-15. Jadual falak cerapan Samarkhan digunakan di Barat kemudiannya oleh Copernicus, Kepler dan Barahe. Mereka sangat kagum tentang ketepatan cerapan tersebut sehingga mereka menyangka data tersebut dicatatkan oleh malaikat. 

Namun, apabila orientalis mula menulis sejarah, mereka menghapuskan sumber rujukan Barat yang dilakukan semata-mata di atas rasa permusuhan dan prejudis terhadap umat Islam. Buku tulisan mereka itulah yang digunakan dalam sejarah moden kini di seluruh dunia.





Model glob bumi yang terdapat di muzium Istanbul yang dilakar oleh pelayar Muslim zaman pemenrintahan Khalifah al-Makmun Abbasiyyah dalam kurun ke-8 yang menunjukkan sebahagian besar dunia telah dijelajahi oleh pelayar Muslim. Peta Semenanjung Tanah Melayu turut dilakar dalam glob yang sama (gambar kanan) yang diletakkan berhampiran dengan Sarandib (Sri Lanka) Semenanjung Zinj (Kepulauan Melayu) termasuk Jawa atau Sumatera. Islam sampai ke Tanah Jawi sejak zaman Khalifah al-Rasyidin lagi setelah armada pimpinan Muawiyah membelah laut di timur dan  barat.


Dalam pelayaran misalnya mereka mendakwa Columbus menemui Amerika dan Magallan orang pertama mengelilingi dunia. Dakwaan ini bercanggah dengan artifak pameran yang ditunjukkan dalam bentuk manuskrip atau lakaran peta dunia oleh pelayar Muslim sejak zaman al-Makmun, iaitu dalam kurun ke-8 Masihi lagi. Kompas yang digunakan dalam bentuk jarum bermagnet yang digunakan dalam pelayaran tersebut turut dipamerkan bersama dengan alat astrolab yang terkenal sebagai alat astronomi dalam tamadun Islam. Ahli pelayaran Uthmaniyyah yang terkenal Piri Reis turut melakar peta dunia yang menunjukkan benua utama dunia dan kutub utara dan selatan. Piri Reis sangat terkenal dalam sejarah pelayaran menerusi peranannya mengetua armada laut kerajaan Uthmaniyyah di Laut Arab dan India. 



Peta dunia di atas glob bumi yang dilukis oleh pelayar Muslim menggambar tanah dan benua yang sudah diketahui sejak zaman yang silam. Manuskrip ini tidakdapat dipastikan tarikh tetapi adalah dipercayai lakaran dibuat selepas al-Biruni kerana al-Biruni yang memperkanalkan koordinat  untuk lokasi di dunia.

Tradisi melukis peta di atas glob dimulakan oleh al-Biruni. Beliau memperkenalkan koordinat yang dilukis berdasar garis bujur dan lintang bumi, dengan khatul istiwa membahagi dua glob kepada hemisfera selatan dan utara. Al-Biruni merupakan pengasas ilmu kartografi moden. Al-Biruni berasal dari kawasan yang terletak dalam negara kesatuan Soviet Union yakni rantau yang merangkumi Samarkhan, Bukhara dan Tashkent yang merupakan kawasan kegemilangan ilmu selepas zaman Baghdad. Al-Biruni pernah diisytiharkan saintis agung Soviet Union pada tahun 1950 sempena ulang tahun ke-1000 al-Biruni.

Di Universiti Tashkent, terdapat lukisan mural di dinding bangunan Fakulti Sains Matematik yang menggambarkan keagungan saintis Muslim termasuk al-Biruni, al-Khawarizmi, al-Farabi dan Ulugh Begh. Al-Farabi ialah tokoh falsafah yang berasal dari Turki. Ketika itu, hubungan Samarkhan dengan Turki adalah sangat erat. Bahkan para sultan Uthmaniyyah berasal daripada Asia tengah. Gelombang hijrah antara Uthnmaniyah-Samarkhan terjadi sejak zaman berzaman melalui Jalan Sutera.
 

Lukisan gambar al-Biruni dan al-Farabi yang terdapat di Fakulti Sains Matematik, Universiti Tashkent. Uzbekistan dalam sejarah silamnya melahirkan ramai saintis Muslim seperti al-Khawarizmi, al-Biruni, Ulugh Begh, Qadi Zadih dan lain-lain.

Di balai cerap di Istanbul yang di bina di sepanjang Jalan Sutera suatu ketika dulu merupakan tempat berkumpulnya saintis dan ahli matematik. Di bawah kelolaaan al-Kasyi, Qadi Zadih, Ulugh Begh, astonomi berkembang ke China lalu membentuk tamadun astronomi yang agung di China di bawah pemerintahan Dinasti Islam Ming. Dinasti Ming pula mengembangkan dakwah Islamiyyah ke seluruh rantau Asia dan Afrika menerusi pelayaran Zheng He dalam kurun ke-15. Hubungan China dengan  Alam Melayu turut terjalin apabila misi China sampai ke Melaka. Di China seorang menteri khusus diberikan perfolio astronomi danm matematik, yang secara tradisinya dipegang oleh orang Islam. Menteri ini bertanggungjawab terhadap pelayaran, percukaian serta kewangan yang melibatkan akaun dan pengiraan.
 
Dalam satu aliran lagi, ilmu astronomi Samarkhan dibawa ke Turki Uthmaniyyah oleh Ali Kusyi, seorang pengikut Ulugh Begh. Tokoh ini menjadi penasihat astronomi Uthmaniyah kemudiannya. Kompas dan alat astronomi untuk pelayaran yang berupa kompas dan astrolab tamadun Islam dipamerkan di muzium tersebut ada hubungannya dengan kegemilangan Islam di seluruh dunia termasuk China dan Samarkhan.



Gambar Baginda Ulugh Begh di dinding Fakulti Sains matematik, Universiti Tashkent. Ulugh Begh terkenal sebagai raja dan saintis yang membina balaicerap al-Sultan, Samarkhan. Al-Sultan merujuk kepada baginda Ulugh Begh yang mencatatkan cerapan bintang menerusi balai cerap tersebut.

Balai cerap turut dibina di Turki untuk tujuan cerapan bintang yang berkaitan dengan falak syari’e. Ilmu falak dianggap ilmu yang penting dalam kehidupan harian seseorang Muslim, sama ada melibatkan ibadat seperti takwim solat atau urusan lainnya seperti pelayaran dan pengembaraan. Ilmu falak turut dikembangkan di Makkah dan Madinah. Umat Melayu yang berpeluang menuntut ilmu di Makkah dan Madinah, turut perpeluang mempelajari ilmu falak, lalu dikembangkan di Alam Melayu untuk tujuan yang sama. Alam Melayu turut melahirkan tokoh falak mereka sendiri seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Ahmad bin Abdul Latif al-Khatib, Syeikh Ahmad al-Fatani dan Syeikh Muhammad Nur al-Fatani. Falak turut berkembang dalam kurikulum pengajian tradisi di seluruh rantau Islam termasuk Alam Melayu. 



Alat astrolabe yang digunakan dalam kajian astronomi dan pelayaran yang dipamerkan di Muzium Istanbul (kiri) serta glob bumi yang dibina berdasar model geosentrik oleh saintis Muslim era kegemilangan.

 Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v