Saya percaya dan saya yakin, apabila disebut Barbarossa,
ramai dalam kalangan kita akan terbayangkan watak seorang lanun
memakai penutup sebelah matanya seperti yang terdapat dalam filem
Pirates of The Carribean. Namun, tahukah kita sebenarnya "Barbarossa" adalah
sebuah nama yang amat signifikan dalam dunia peradaban Islam dahulu
kala. Barbarossa bererti janggut merah. Hanya terdapat tiga orang tokoh
besar dunia yang berjanggut merah, iaitu Maharaja Frederick daripada
Rom (1123-1190) dan dua orang adik-beradik, Aruj dan Khairuddin atau disebut dengan Hayreddin, kedua-duanya dari Turki.
Islam pernah mengangkat ketamadunan ke peringkat yang tertinggi di
bumi Andalusia, kebudayaan, falsafah (sains) dan teknologi (terutama
infrastruktur dan arkitekstur) lahir di wilayah semenanjung Iberia
(Sepanyol) tersebut. Thariq bin Ziyad yang telah membawa misi Islam ke
bumi tersebut juga telah diabadikan namanya menjadi nama gunung di
semenanjung tersebut, iaitu Jabal Thariq yang disebut oleh orang barat
sebagai Gibraltar (kini berada di bawah kuasa Inggeris). Sebuah gunung
berhampiran dengan selat yang menghubungkan lautan Atlantik dengan Laut
Tengah. Ketika era kegemilangan Islam, bangsa barat (Eropah)
tercengang dengan kemajuan Andalusia, Cordoba, Granada dan Sevilla
setelah dipimpin Dinasti Bani Umayyah pada tahun 756M. Umat Islam,
Kristian dan Yahudi hidup aman penuh rukun selama dua abad lebih di saat
itu.
Sebermulanya era Perang Salib, Eropah telah
melancarkan misi Reconquista iaitu misi penaklukan kembali
wilayah-wilayah Eropah. Satu persatu bandar-bandar yang mempunyai
peradaban tinggi mulai jatuh, Lisboa, Merida, Cordoba, Valencia, Murcia,
Sevilla dan kemuncaknya dengan kejatuhan Granada pada tahun
1492M. Bangsa Moor di wilayah Andalusia, terpaksa melarikan diri ke
Afrika utara kerana misi Reconquista diteruskan dengan misi pembantaian
umat Islam iaitu dengan pembersihan kaum muslim, sebahagian dipaksa
murtad dan sebahagian lagi bersembunyi di pergunungan.
Misi ini memuncak ketika raja Ferdinand II dari Aragon berkahwin
dengan ratu Isabella dari Castille, dan selanjutnya dikenali sebagai
Ferdinand V of Castille. Ferdinand merupakan seorang penganut Kristian
Katolik yang fanatik. Umat Islam dan Yahudi dibantai dengan kejam pada
era pemerintahannya. Masjid Cordoba yang bertiangkan 1000 buah kini
menjadi gereja, begitu pula Istana Alhambra hanya tinggal
kenangan. Reconquista diteruskan ke arah Afrika utara dan ke arah timur
yang mana tujuan utamanya adalah tanah suci Jerusalem di wilayah
Palestin. Berita kejatuhan Andalusia ini sampai kepada Turki yang ketika
itu dipimpin oleh Sulaiman I The Magnificient yang telah berjaya
menakluk Byzantium.
Pada zaman inilah, terdapat
dua orang adik beradik, yang menjadi pelaut biasa berlayar di wilayah
perairan Yunani dan Turki yang bernama Aruj dan Hayreddin. Suatu hari
kapal mereka telah diserang kapal tentera St. John of Jerusalem atau
biasa disebut sebagai Knight of Rhodes, kejadian ini telah membuatkan
adik bongsunya terbunuh. Sejak daripada saat itu, Aruj dan Hayreddin
melakukan aktiviti pelanunan dan rompakan kepada semua kapal-kapal
tentera Kristian. Aktiviti ini sangat menggemparkan dan sangat ditakuti
tentera Kristian, dikenali sebagai lanun Barbarossa Brothers kerana
kedua-duanya berjanggut merah. Makna negatif Barbarossa dipropagandakan
hingga sekarang oleh barat, contohnya perompak pada komik Asterix dan
watak Captain Barbarossa dalam filem Pirates of the Carribean yang
selalu sial.
Misi dendam Barbarossa Brothers akhirnya berubah menjadi misi
perjuangan Islam setelah mendengar jatuhnya Andalusia. Puluhan ribu
bangsa Moor (bahkan yang menghuni di pergunungan) berjaya mereka
selamatkan ke negeri-negeri Afrika Utara seperti Maghribi, Tunisia dan
Algeria, selain itu Algeria dijadikan pangkalan pertahanan lautnya.
Penguasa
Algeria tidak seramah sultan di Tunisia, Sultan Salim di Toumy malah
pernah mengusir Barbarossa ketika sedang bertempur dengan pasukan
Kristian Sepanyol. Aruj mengambil keputusan kekal di Algeria dan
akhirnya memimpin bandar pelabuhan tersebut atas nama kesultanan
Turki. Pada tahun 1518, Sepanyol berjaya menghasut Amir bandar Tlemcen
(Tilmisan) untuk menentang Aruj, beliau menyerahkan Algeria kepada
adiknya Hayreddin dan beliau berangkat ke Tlemcen yang ternyata di sana
beliau dan tenteranya terpaksa berperang dengan saudara sendiri yang
sesama Islam, pasukannya tewas dan namun Aruj sempat meloloskan diri,
namun banyak pasukannya tertangkap. Namun, oleh kerana hubungannya
dengan anak buahnya yang lebih daripada sekadar kepentingan peribadi,
Aruj kembali bertempur dan gugur.
Gugurnya Aruj menjadikan pimpinan armada laut Algeria Barbarossa
berpindah ke Hayreddin. Sepanyol menyangka era Barbarossa telah berakhir
di Laut Tengah. Lalu, Sepanyol menghantar 20 000 tenteranya ke Algeria,
pertempuran hebat telah berlaku, namun Hayreddin berjaya mengalahkan
tentera laut tersebut. Beliau sedar terlalu banyak ancaman dari negeri
di sekelilingnya selain ancaman utama Sepanyol, hingga akhirnya
Hayreddin meminta melalui Algeria supaya Amir Tunisia dan Tlemcen
dialihkan kekuasaannya atas nama daulah Uthmaniah Turki, mereka pun
bersetuju, hingga pada tahun 1519 Turki mengangkat Hayreddin sebagai
beylerbey atau wakil Turki di Algeria dan memimpin pasukan Janissari,
pasukan khas tentera elit Turki. Selama Hayreddin mempimpinnya,
penyelamatan bangsa Moor di Andalusia semakin banyak dilakukan, 7 kali
pelayaran dengan 36 kapal direkodkan.
Kristian Eropah mula merasa tergugat dengan kegemilangan Sulaiman I dari
Turki, yang telah menguasai daratan dengan pasukan Janissarinya dan
menguasai Laut Tengah dengan keberadaan Hayreddin Barbarossa, sang adik
dari Aruj. Pada tahun 1529, di Pulau Penon disaat azan berkumandang,
tentera Sepanyol telah menembak meriam ke menara masjid, maka terjadilah
peperangan hebat dan setelah 20 hari peperangan, pulau tersebut
dikuasai Hayreddin. Di daratan pula, Sulaiman I cuba untuk
merealisasikan impiannya untuk menakluk Vienna, Austria, sebanyak dua
kali serangan dilancarkan namun kedua-duanya gagal. Pasukan Turki yang
kembali pulang sempat meninggalkan beberapa karung kopi serta menukar
peraturan Pope Rom yang sebelumnya mengharamkan minuman yang diminum
kaum muslim itu. Kemudian mereka menyebutnya sebagai cappuccino.
Pada tahun yang sama Andrea Doria di Genoa berjaya membaik pulih
Republik Genoa dan telah bersekutu dengan Charles V Sepanyol dan
meneruskan misi reconquista dengan berperang dengan Sulaiman I dan
Barbarossa yang menguasai perairan Laut Tengah. Kaum Eropah menyebut
Barbarossa sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan
tengkorak yang menjadi simbol, bahkan bendera yang diusung adalah
berwarna hijau terdapat kaligrafi doa “Nashrun minalLaah wa fathun
qariib wa basysyiril mu'miniin”, ya Muhammad, empat nama khulafa ur
rasyidin, pedang zulfikar dan bintang segi enam Yahudi. Ketika ini,
bintang segi tiga itu masih belum digunakan oleh kaum Yahudi malah
ianya adalah simbol perjuangan. Hanya kini, kaum yahudi dan Israel
telah menggunakan simbol itu bagi pakatan zionis mereka dan telah
menyebabkan umat Islam fobia dengan simbol ini.
Charles V telah berusaha dengan bergabung dengan Knights of Rhodes di
Pulau Malta, namun masih lagi gagal membendung penguasaan Barbarossa ke
atas Laut Tengah. Turki yang kagum dengan prestasi Barbarossa, telah
mengangkat beliau menjadi Panglima Laut (Kapudan Pasha) daulah Uthmaniah
dan mengetuai angkatan Laut Turki Uthmaniah.
Pada tahun 1535,
gabungan bersekutu Charles V dan Andrea Doria yang telahpun mengubah
nama kepada Knight of Malta telah menyerang dan merebut Tunisia dengan
25 000 lebih pasukannya dalam 500 kapal. Pertempuran tersebut amat
dahsyat dan Tunisia telah jatuh ke tangan Sepanyol. Barbarossa walaupun
kalah pada tahun-tahun berikutnya telah berjaya menguasai kepulauan
Beleares dan merampas kapal-kapal Portugis dan Sepanyol di selat
Gibraltar.
Pada tahun 1538, pakatan sekutu Itali Sepanyol telah
berperang di Preveza, tempatnya adalah di teluk Actium, tempat
pertempuran Octavian melawan Antonius dan Cleopatra dahulu kala. Preveza
merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah ketika ini. Andrea memimpin
40 kapalnya dan Barbarossa dengan 20 kapal, namun dengan kepintaran
Barbarossa dalam mengatur strategi dan pengetahuannya yang mendalam ke
atas bentuk muka bumi dan geografi tempat pertempuran, pada waktu pagi
sebelum pertempuran bermula, armada Barbarossa telahpun bersiap siaga
di mulut teluk Preveza dari tiga arah dan telah mengebom armada Andrea
sehingga armada Andrea berundur dari pertempuran. Barbarossa tidak ingin
berperang di laut lepas kerana kapal-kapal armada laut Sepanyol
mempunyai manuver yang lebih canggih.
Serangan ke atas
Algeria oleh sekutu Charles V dan Andrea Doria berlanjutan sehingga tiga
tahun kemudian dengan 200 kapal di luar perairan Algeria kerana
kebimbangan diserang Barbarossa dari belakang. Rakyat Algeria di bawah
pimpinan Hasan Agha telah bertempur bermati-matian mempertahankan
negerinya. Semangat jihad mereka membara untuk mempertahankan
kedaulatan wilayah Islam daripada jatuh ke tangan kuffar dibantu pula
dengan keberadaan ulama’-ulama’ di sana yang menjadi pemangkin semangat
kepada mereka. Charles V yang memperlekehkan dan mengambil mudah
pertahanan dan strategi peperangan Algeria yang ampuh, telah menyebabkan
armadanya huru-hara selain daripada telah dihentam dengan ribut laut
yang dahsyat ketika peperangan tersebut. Andrea Doria dan Charles V
berjaya selamat, dan kembali ke negerinya dengan kekalahan yang amat
pahit.
Ketika Perancis berperang dengan Sepanyol, Perancis telah bersekutu
dengan Turki Uthmaniah, Barbarossa pun berangkat ke Marseilles untuk
merebut Nice dengan memimpin 30 000 orang tentera Turki
Uthmaniah. Sekepulangan dari Nice, Barbarossa kemudiannya berangkat ke
Genoa untuk membebaskan pembantu kepercayaannya, Turgut Reis. Beliau
telah membawa 210 buah kapal ke sana dan mengancam akan menyerang Genoa
melainkan Turgut Reis yang telahpun dijadikan hamba serta dipenjara
dibebaskan serta merta. Ugutan ini telah membimbangkan Panglima Genoa,
Andrea Doria yang mula membebaskan tawanan itu dengan pertukaran hanya
3500 ducat emas. Setelah itu, banyak lagi misi-misi penaklukan dan
perluasan wilayah Islam telah diperintahkan oleh Sultan Sulaiman 1 The
Magnificient kepada Panglima Jeneral Angkatan Laut Turki Uthmaniah ini,
Hayreddin Barbarossa Pasha.
Panglima Hayreddin
Barbarossa Pasha mula bersara di Constantinople pada
tahun 1545, meninggalkan anaknya Hasan Pasha sebagai waris
penggantinya di Algeria. Beliau kemudiannya menyerahkan memoir catatan
beliau kepada Muradi Sinan Reis. Ianya terdiri daripada lima jilid yang
bertulisankan tangan yang dikenali
sebagai“Gazavati Hayreddin Pasa" (Penaklukan Hayreddin Pasha). Hari ini, ianya dipamerkan
dengan megah di Istana Topkapi dan Perpustakaan Universiti Istanbul.
Hayreddin Barbarossa Pasha meninggal dunia pada 1546 di istana tepi
laut di kejiranan Büyükdere, Constantinople, di tepi barat laut wilayah
Bosphorus.
Beliau dimakamkan di makam yang
tinggi berhampiran dengan pelabuhan feri daerah Besiktas di sebelah
barat Istanbul yang dibina pada 1541 oleh arkitek terkenal Mimar
Sinan, tapak yang mana armadanya digunakan untuk berhimpun. Memorial
telah dibina pada tahun 1944, di sebelah makam beliau.
Kita melihat betapa umat Islam dahulu kala diangkat ke martabat yang
tertinggi di muka bumi oleh Allah dek kerana mempunyai pemimpin yang
baik serta berkaliber, amanah dengan perjuangan menegakkan syiar Islam
ke serata dunia seperti Panglima Hayreddin Barbarossa Pasha. Kita
melihat betapa walaupun Barbarossa Brothers yang hanya dikenali sebagai
pelayar lautan berbangsa Turki yang biasa pada mulanya, seterusnya
digelar lanun di samudera pula, sanggup berkorban segalanya demi
kemaslahatan umat Islam walaupun yang berlainan bangsa dengan mereka
iaitu bangsa Moor.
Inilah ikatan ukhuwah Islamiah yang
terdapat pada umat Islam terdahulu yang merentasi sempadan negara,
bangsa dan budaya, hanyalah didasari atas kalimah tauhid yang satu.
Maka di sinilah, perjuangan mereka yang terdahulu perlu diteladani dan
corak kepimpinan mereka perlu dicontohi serta dipraktikkan oleh umat
Islam khususnya di Malaysia. Pastikan pemimpin yang dipilih itu adalah
yang terbaik serta amanah dalam mentadbir urus negara, maka dengan ini
barulah umat Islam akan digeruni musuh dan disenangi kawan.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v