Tuesday 4 November 2014

Al Quran di Oxford Suatu Harapan

 Menurut sejarawan lord macauly;

''Sekiranya tentera Franka tidak mempertahankan secara bermati matian kota CHINON itu nescaya AL QURAN , bukannya INJIL yang di ajarkan di universiti OXFORD sekarang''


Mengimbau kembali salah satu siri perjuangan menawan eropah umat islam hampir menawan kota utama FRANKA CHINON (PARIS) dan KESELURUHAN PERANCIS, tetapi helah yang digunakan musuh hanya dengan menceroboh khemah simpanan harta rampasan perang tentera muslim yang terlalu banyak ketika itu.

Pada akhir Syaban tahun 104 hijrah bersamaan Oktober 732M, Abdul Rahman dan tenteranya menuju ke Kota Poitiers di mana di sinilah berlakunya satu perang yang dikenali sebagai Balat Al-Shuhada atau Battle of Tours. Pada ketika ini, tentera Islam berada di kemuncaknya tetapi pada masa yang sama bebanan harta rampasan perang yang ditanggung semakin bertambah,mencurah-curah ibarat hujan.

Inilah yang membimbangkan Abdul Rahman, kerana harta yang banyak ini akan mengganggu hati tentera Islam dan bakal mengugat kekuatan umat Islam. Abdul Rahman berhasrat untuk memerintahkan tenteranya untuk membuang harta itu tetapi beliau takut cadangannya tidak dapat diterima oleh mereka. Jadi, pilihan terbaik ialah meletakkan semua harta di dalam satu khemah khas di bahagian belakang markas sebelum peperangan meletus.


Dalam suatu ketika, pasukan Charles yang terus bertahan menyekat serangan bertali arus pasukan berkuda tentera Islam akhirnya terpaksa berundur. Akhirnya benteng pertahanan tentera Charles berjaya dipecahkan dan melurulah tentera Islam dengan semangatnya membunuh tentera Franks yang lari bertempiaran.

Tentera Islam telah berjaya mengepung Charles yang dikelilingi tentera pengawalnya yang segera muncul bagi melindungi raja mereka daripada serangan pasukan Islam.

Rupanya ketika peperangan bermula, Charles telah mengirim sebuah pasukan tentera menuju ke base camp tentera Islam. Matlamatnya adalah mahu mengalih perhatian tentera Islam bila melihat kem mereka diserang dan harta rampasan mereka dicuri.

Ketika sedang dikepung inilah, pasukan berkenaan telah menyerang hendap kem tentera Islam dan mula membebaskan tawanan perang. Kem yang ketika itu kosong menjadi porak peranda.


Menyangkakan harta rampasan perang mereka dicuri pihak musuh, kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak-peranda dan kekuatan mereka mula goyah.

Dalam keadaan ini, pahlawan Islam yang agung, Abdul Rahman al- Ghafiqi terpaksa memacu kudanya ke hadapan dan belakang. Setelah berjaya mendisiplinkan kembali oleh Abdul Rahman al- Ghafiqi , Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi ibarat helang yang gugur dari puncak gunung.

Mendengar sorak sorai tentera Franks yang menghebohkan kematian Abdul Rahman, tentera Islam mula goyah dan berundur. Charles kembali menyusun pasukannya kerana menyangka tentera Islam akan kembali menyerang, sehinggalah keesokan paginya dia terkejut bila mendapati tentera Islam telah berundur sepenuhnya kembali ke Andalusia.



Peperangan Balat al-Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tragedi Uhud berulang kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin dapat diubah.

Berita kekalahan di Balat al-Shuhada’ ini amat menyayat hati umat Islam di setiap tempat. Tragedi yang menimpa mereka ini amat menggemparkan mereka. Seluruh kota, kampung dan setiap rumah berkabung kesedihan menerima berita ini. Malah luka yang amat pedih ini masih terasa hingga kini. Luka ini tidak akan sembuh selamanya.

Sebenarnya, luka yang begitu mendalam ini bukan sahaja menggores hati umat Islam. Malah luka ini turut dikongsi bersama para cendekiawan Eropah. Bagi mereka, kemenangan datuk nenek moyang mereka mengalahkan umat Islam di Poitiers merupakan satu bencana yang merugikan seluruh bangsa manusia. Suatu kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Eropah. Suatu bencana yang memalapkan suatu tamadun.

Jika anda ingin melihat pandangan mereka mengenai malapetaka di Balat al-Shuhada’ ini, silalah dengar apa yang dikatakan akan oleh Henry De Shamboone, pengarah majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis. Dia pernah menyebut:

“Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban. Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan selamat daripada Mahkamah Taftish (mahkamah yang diwujudkan oleh Ferdinand dan Ratu Isabella untuk menghukum umat Islam Sepanyol dan memahat sejarah hitam bangsa manusia). Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun. 

Kata beliau lagi; "Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih terhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian. Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”

Maraji’ – Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha, 37 Kisah Kehidupan Tabi’in,

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat (^_^)v